Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

20

Soalan

Senator Puan Susan Chemerai Anding minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan selain usaha anti-pemburuan haram, apakah rancangan konkrit Kementerian untuk mewartakan dan menjamin koridor ekologi Central Forest Spine yang dicadangkan sebagai kawasan perlindungan kekal untuk menjaga habitat Harimau Malaya yang terancam.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Central Forest Spine (CFS) merupakan landskap gabungan lapan (8) kompleks hutan berkeluasan 5.3 juta hektar. Landskap ini terdiri daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), Hutan Tanah Kerajaan (HTK), Taman Negara, Taman Negeri, Rizab Hidupan Liar dan tanah persendirian yang menjadi tulang belakang bagi Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) merentasi lapan (8) buah negeri di Semenanjung.


Pengurusan CFS dilaksanakan berlandaskan kepada strategi, tindakan dan inisiatif yang terkandung dalam Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) 2022. Pelan induk ini telah mengenal pasti sebanyak 39 rangkaian ekologi (RE) CFS yang berfungsi menghubungkan semula kompleks hutan yang mengalami fragmentasi bagi tujuan konservasi biodiversiti terutamanya hidupan liar. 


Dalam hubungan ini, bagi menjamin pengekalan habitat hidupan liar dan konservasi Harimau Malaya, seterusnya menyumbang kepada pengurangan konflik antara manusia dan hidupan liar, Mesyuarat Tanah Negara (MTN) ke-81 pada 19 September 2024 antara lain telah bersetuju supaya kerajaan-kerajaan negeri mengekalkan kawasan berhutan yang berstatus Tanah Kerajaan dalam RE CFS seluas 86,622 hektar, serta mengambil inisiatif mewartakan kawasan HTK yang sesuai dalam RE CFS sebagai HSK.


Sekian, terima kasih.



Attachments