Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 12 March 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 2 | Soalan | Senator Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan mengapakah penyeludupan e-sisa masih berleluasa di pelabuhan negara walaupun pelbagai penguatkuasaan telah diumumkan dan siapakah pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan mengekang kemasukan e-sisa haram serta apakah indikator prestasi utama yang digunakan bagi mengukur kejayaan penguatkuasaan terhadap penyeludupan e-sisa.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian telah mengenal pasti beberapa faktor yang mendorong kemasukan secara berterusan e-waste ke Malaysia iaitu:
Asia Tenggara dan Malaysia telah menjadi antara destinasi eksport popular negara maju selepas China mengumumkan larangan import untuk pelbagai jenis sisa pepejal seperti plastik, kertas, tekstil, sisa logam dan e-waste pada tahun 2018. Dasar China ini memaksa negara maju untuk mencari destinasi baru untuk mengeksport sisa Negara masing-masing;
Terdapat individu atau sindiket tidak bertanggungjawab dengan sengaja membuat pengisytiharan palsu serta memanipulasi maklumat barangan yang dibawa masuk bagi memperdaya dan mengelirukan pihak berkuasa; dan
Permintaan yang tinggi oleh kilang haram dan tidak berlesen dalam Negara yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste kerana bahan tersebut mengandungi logam bernilai tinggi seperti emas, perak, kuprum dan palladium yang boleh diperolehi semula.
Isu e-waste melibatkan rantaian aktiviti yang kompleks dan merentasi pelbagai bidang kuasa bermula dari negara pengeksport yang melibatkan pengangkutan oleh syarikat perkapalan yang diuruskan oleh ejen penghantaran dan pemilik kontena. E-waste ini dibawa masuk secara haram melalui pelabuhan dan disimpan secara sementara di gudang-gudang dan kemudiannya dihantar ke kilang-kilang haram untuk diproses. Hasil residue atau sisa yang dijana daripada aktiviti ini akan dilupuskan secara haram.
Secara keseluruhannya, dapat difahami bahawa tanggungjawab terhadap operasi perkapalan dan pelabuhan berada di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT). Manakala kawalan kemasukan kontena dan sempadan pula adalah di bawah bidang kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuklah dari segi mengawalselia ejen penghantaran.
Kilang-kilang haram yang memproses e-waste tanpa sebarang kelulusan ini adalah di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah. Justeru, isu ini memerlukan pendekatan penguatkuasaan bersepadu dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan rantaian ini dapat diputuskan secara menyeluruh.
Usaha memerangi e-waste haram bukanlah tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja. Kerjasama dan pendekatan Whole of Nation amat penting bagi menangani rangkaian kemasukan e-waste secara haram ke Negara ini bermula dengan memutuskan rangkaian rantaian permintaan dan penawaran.
Sehubungan itu, tiada satu pihak yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya atau harus dipersalahkan dan semua tenaga harus digembeling untuk membanteras isu ini.
Indikator prestasi utama yang digunakan bagi mengukur kejayaan penguatkuasaan terhadap penyeludupan e-waste adalah bilangan penahanan kontena e-waste melalui pelbagai operasi bersepadu seperti Ops Hazard 1.0, Ops Hazard 2.0, Ops e-waste dan Ops Dermaga. Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan bagi tahun 2026 bagi mengekang kemasukan e-waste haram ke dalam Negara.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|