Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

1

Soalan

Senator Puan Rita Sarimah Anak Patrick Insol minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah penilaian Kementerian terhadap pencapaian Malaysia setakat ini berhubung sasaran Net Zero 2050, dan apakah langkah konkrit yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan sasaran pengurangan intensiti gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih menjelang 2050 dapat direalisasikan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Malaysia telah meratifikasikan Perjanjian Paris pada 16 November 2016. Antara obligasi utama negara ahli kepada Perjanjian Paris adalah untuk menyediakan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang dinamakan sebagai Nationally Determined Contributions (NDC) yang merupakan sasaran pengurangan pelepasan GHG sesebuah negara ahli kepada Perjanjian Paris.


  1. Dalam hal ini, Malaysia telah mengemukakan komitmen NDC Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG yang merentas ekonomi sebanyak 45% pada tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2005. Berdasarkan Laporan Biennial Transparency Report (BTR) pertama negara, Malaysia telah mencapai pengurangan intensiti karbon sebanyak 37.12% terhadap KDNK pada tahun 2021 berbanding tahap pada tahun 2005. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan positif dan kemajuan ke arah sasaran NDC menjelang 2030. 


  1. Selain sasaran NDC, Malaysia juga meletakkan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih menjelang tahun 2050. Walau bagaimanapun buat masa ini, pencapaiannya adalah masih terlalu awal untuk dinilai. Namun begitu, dengan mengambil kira perkembangan semasa dasar dan perundangan di Malaysia, serta strategi sedia ada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam positif bahawa Malaysia sedang berada di landasan yang tepat bagi mencapai aspirasi jangka masa panjang tersebut.


  1. Sebagai langkah untuk memastikan sasaran-sasaran ini dapat direalisasikan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah membangunkan dokumen Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long-Term Low Emissions Development Strategy - LTLEDS) Malaysia.  


  1. LTLEDS merupakan dokumen penting yang menjadi asas rujukan dasar bagi pelaksanaan strategi penyahkarbonan seperti tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, mobiliti elektrik, sumber tenaga alternatif seperti biobahan api dan hidrogen, teknologi baharu seperti inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (carbon capture, utilization and storage - CCUS), dan juga penyelesaian berasaskan alam semulajadi (nature-based solutions).


  1. Pelaksanaan strategi penyahkarbonan ini akan disokong oleh pelbagai dasar dan perundangan antara lainnya seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap - NETR), Dasar Tenaga Negara 2040, Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan - NIMP) dan perundangan seperti Akta Konservasi dan Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency and Conservation Act - EECA) dan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (CCUS Act). 


  1. Dalam masa yang sama, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam juga sedang memuktamadkan pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijangka akan dibentangkan di sesi kedua Parlimen pada bulan Jun 2026 dan juga pembangunan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK). Kedua-dua dasar dan perundangan ini adalah penting bagi mengukuhkan tadbir urus perubahan iklim di Malaysia dan menyokong pelaksanaan usaha penyahkarbonan  di bawah sektor-sektor lain yang berkaitan.


Sekian, terima kasih.



Attachments