Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

10 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

31

Soalan

Senator Dato' Wu Him Ven minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :- 

  1. hasil siasatan berhubung insiden air Sungai Perak bertukar biru yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE); dan 

  2. status dan dapatan akhir laporan kajian impak perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) oleh FRIM yang dijadualkan untuk pelaporan pada Oktober 2025 serta apakah pendirian Kerajaan tentang ini.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Kerajaan memandang serius insiden perubahan warna air Sungai Perak yang dilaporkan pada Oktober 2025 kerana ia berpotensi menjejaskan kualiti air dan keselamatan penduduk setempat. Sehubungan itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengeluarkan arahan penggantungan sementara operasi perlombongan dan pembangunan lombong selama tiga minggu kepada tiga tapak perlombongan di Daerah Hulu Perak bagi membolehkan penambahbaikan segera dilaksanakan, khususnya berkaitan sistem rawatan efluen lombong serta kawalan hakisan dan sedimen.


  1. Bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengaktifkan satu Task Force pada 26 dan 27 November 2025 yang melibatkan pelbagai agensi teknikal Persekutuan dan Negeri termasuk JMG, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri Perak. Task Force ini telah menjalankan pemeriksaan tapak, siasatan punca pencemaran serta pensampelan kualiti air sungai.


  1. Pemerhatian awal menunjukkan bahawa perubahan warna air berkemungkinan dipengaruhi oleh kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu hasil gangguan kepada tanah. Gangguan ini boleh berpunca daripada pelbagai aktiviti seperti perlombongan, pembalakan, pertanian, penyelenggaraan jalan dan cerun serta pelupusan sampah. 

 

Soalan (b)

 

  1. Pelaporan yang dijadualkan pada Oktober 2025 adalah merujuk kepada kajian yang dilaksanakan di kawasan dirian ladang getah di Mukim Kenering, Perak dan bukannya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK). Kajian tersebut telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menilai impak awal aktiviti perlombongan REE menggunakan kaedah in-situ leaching (ISL). Sehubungan itu, satu sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri telah diadakan pada 18 September 2025 bagi membentangkan dapatan kajian tersebut, dan laporan berkenaan telah dimuktamadkan untuk pelaporan pada Oktober 2025.


  1. Sehubungan itu, dapatan kajian di kawasan dirian ladang getah tersebut, menunjukkan bahawa ia boleh dilaksanakan secara terkawal dengan pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP). Ini termasuk pelaksanaan kawalan efluen yang berkesan, pemulihan progresif kawasan lombong sepanjang tempoh operasi serta pemantauan berterusan terhadap kualiti air bawah tanah dan persekitaran setempat. Dapatan ini adalah tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap keperluan kawal selia teknikal dan alam sekitar yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkaitan.


  1. Bagi kajian di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), ia masih dalam pelaksanaan dan dirancang secara berfasa dalam tempoh lima tahun. Kajian ini memerlukan pengumpulan data jangka sederhana dan panjang bagi menilai kesan terhadap flora, fauna, stok karbon, tanah, hidrologi dan sosio-ekonomi secara menyeluruh. FRIM akan mengemukakan laporan interim secara tahunan bagi memastikan pemantauan berterusan dan ketelusan.


  1. Pendirian Kerajaan adalah jelas dan konsisten, iaitu sebarang keputusan dasar berkaitan perlombongan REE di kawasan HSK hanya akan dipertimbangkan selepas kajian saintifik yang menyeluruh dimuktamadkan.


Sekian, terima kasih.



Attachments