Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

10 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

5

Soalan

Senator Dato' Sivaraj a/l Chandran minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan penggunaan mesin peniup daun di kawasan awam menghasilkan tahap zarah terampai (PM2.5 dan PM10), paras ini melepasi had selamat yang ditetapkan oleh garis panduan kualiti udara kebangsaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Penggunaan mesin peniup daun di kawasan awam berpotensi meningkatkan kepekatan zarah terampai seperti (Particulate matter) PM2.5 dan PM10 dalam udara sekitar. Peningkatan ini berlaku kerana tiupan udara berkelajuan tinggi mengangkat habuk, tanah kering serta partikel halus lain yang berada di permukaan tanah ke udara. Namun demikian, peningkatan ini lazimnya bersifat setempat dan sementara serta tidak semestinya mencerminkan bacaan purata 24 jam yang direkodkan di stesen pemantauan kualiti udara.


  1. Dalam hubungan ini, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira untuk menentukan sama ada paras tersebut melepasi had selamat yang ditetapkan oleh garis panduan kualiti udara kebangsaan atau saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti keadaan persekitaran, jumlah habuk di permukaan, tempoh penggunaan dan pergerakan angin. Dalam keadaan tertentu khususnya ketika cuaca kering dan angin perlahan, bacaan zarah terampai di kawasan berhampiran boleh meningkat buat sementara waktu dan berpotensi melebihi garis panduan yang disarankan oleh WHO. 


  1. Terdapat perbezaan Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia (MAAQS) berbanding garis panduan WHO kerana pendekatan yang digunakan dalam menetapkan standard tersebut adalah berbeza dari segi tujuan dan pertimbangan dasar. Perkara ini meliputi tahap pembangunan ekonomi Negara, keupayaan teknologi untuk pemantauan dan penguatkuasaan serta kesan kepada sektor industri dan mobiliti masyarakat. Manakala, panduan yang digariskan dalam WHO Global Air Quality Guidelines 2021 adalah berasaskan bukti saintifik terkini mengenai kesan pencemaran udara terhadap kesihatan manusia dan bertujuan menetapkan tahap perlindungan kesihatan yang paling optimum. 


  1. Sehubungan itu, penggunaan mesin peniup daun di kawasan awam wajar dilaksanakan secara berhemah bagi meminimumkan pendedahan kepada orang awam serta mengurangkan kesan terhadap kualiti udara persekitaran. Kementerian mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan dan menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan serta pengendali perkhidmatan pembersihan untuk mengamalkan amalan terbaik termasuk penetapan masa operasi yang sesuai di luar waktu puncak serta pematuhan kepada langkah-langkah kawalan bagi meminimumkan impak terhadap kualiti udara dan kesihatan awam.


  1. Berdasarkan data pengawasan kualiti udara bagi tahun 2025, secara keseluruhannya status kualiti udara di Malaysia adalah terkawal dan berada pada tahap yang baik. Pada tahun tersebut, sebanyak 50.4% bacaan IPU direkodkan dalam kategori ‘Baik’, meningkat berbanding 35.2% pada tahun 2024. Sementara itu, bacaan IPU dalam kategori ‘Sederhana’ dan ‘Tidak Sihat’ masing-masing mencatatkan 49.4% dan 0.2% daripada keseluruhan bacaan IPU di seluruh Malaysia. Statistik ini menunjukkan bahawa majoriti bacaan kualiti udara yang direkodkan sepanjang tahun berada dalam kategori Baik dan Sederhana. 


  1. Sehingga jam 9.00 pagi hari ini, daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara, sebanyak 16 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap ‘Baik’, 52 stesen pada tahap ‘Sederhana’, dan tiada stesen mencatatkan bacaan ‘Tidak Sihat’.


Sekian, terima kasih.



Attachments