Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 04 March 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Ukur dan Pemetaan | Nombor Soalan | 67 | Soalan | Senator Datuk Edward Linggu Bukut minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan penjelasan dan fakta sebenar mengenai dakwaan 5207 hektar tanah yang dilaporkan diberikan kepada Indonesia termasuk butiran teknikal perjanjian persempadanan, asas rundingan, dan bagaimana Kerajaan memastikan dakwaan media tidak mengelirukan rakyat.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan tanah seluas 5,207 hektar adalah tidak benar dan mengelirukan. YAB Perdana Menteri telah memberikan penjelasan dalam Sesi Penerangan Khas berhubung Penjajaran Sempadan dan Outstanding Boundary Problem (OBP) Malaysia - Indonesia di Dewan Rakyat pada 4 Februari 2026, bertujuan merungkai salah faham serta maklumat yang tidak tepat yang telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Asas penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia tidak dibuat berdasarkan prinsip pampasan, pertukaran wilayah atau untung rugi. Sebaliknya, ia berlandaskan perjanjian dan konvensyen yang berkuat kuasa, kerja-kerja siasatan, penandaan dan pengukuran secara bersama di lapangan, serta rundingan dua hala yang dimuktamadkan di peringkat tertinggi kedua-dua negara. Rundingan bagi kawasan OBP ini telah bermula sejak tahun 1978 serta telah melalui pelbagai fasa teknikal dan diplomatik.
Dari sudut teknikal, penentuan jajaran sempadan adalah berdasarkan Konvensyen 1891, Perjanjian 1915 dan Konvensyen 1928 antara British dan Belanda, yang menjadi asas undang-undang antarabangsa bagi persempadanan Malaysia - Indonesia. Kawasan OBP yang belum dimuktamadkan adalah kawasan rundingan dan tidak boleh dianggap milik mana-mana negara sehingga satu persetujuan dicapai. Konvensyen dan perjanjian ini menjadi asas perundangan yang sah, neutral dan diterima di peringkat antarabangsa dalam memastikan kawasan OBP dikendalikan secara objektif sehingga persetujuan dicapai oleh kedua-dua negara.
Bagi kawasan OBP Sungai Sinapad - Sungai Sesai (B2700 - B3100), keluasan keseluruhan adalah 5,987 hektar. Sebelum jajaran dimuktamadkan, kawasan ini secara pentadbiran berada di bawah Indonesia. Berdasarkan prinsip Perjanjian 1915, Malaysia memperoleh tambahan 780 hektar, manakala baki 5,207 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia. Penentuan ini telah menyebabkan sebahagian kecil Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas berada dalam kawasan Malaysia (Sabah);
Dari segi perundangan, MoU ini telah disemak oleh Jabatan Peguam Negara dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah pada 5 Jun 2024. Kerajaan Negeri Sabah melalui surat bertarikh 6 Jun 2024 turut menyatakan tiada halangan terhadap pemeteraian MoU ini. Selaras dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Senarai Persekutuan (Senarai I, Jadual Kesembilan), urusan perjanjian dan persempadanan antarabangsa terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, proses rundingan sehingga termeterainya MoU ini telah dilaksanakan dengan penglibatan penuh wakil Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta pakar teknikal berkaitan.
Kejayaan memuktamadkan jajaran sempadan OBP Sungai Sinapad - Sungai Sesai memberikan kepastian perundangan dan pentadbiran kepada penduduk setempat. Hal ini membolehkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan, aspek keselamatan, pembangunan, pengurusan tanah serta sumber tempatan dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan tanpa pertindihan kuasa. Keputusan ini bertujuan menjaga kepentingan rakyat Sabah serta memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat terus terpelihara.
Kerajaan komited untuk memastikan mesej dan penerangan kepada rakyat disampaikan secara jelas, berfakta dan bertanggungjawab. Sebarang kenyataan awam juga wajar disampaikan dengan berhemah bagi memastikan suasana rundingan yang konstruktif serta hubungan dua hala Malaysia - Indonesia terus terpelihara. Kerajaan akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dan berasaskan undang-undang dalam menyelesaikan isu-isu persempadanan demi kepentingan strategik dan kedaulatan negara.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|