Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

18

Soalan

Senator Tuan Che Alias bin Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan tegas yang diambil terhadap lambakan kemasukan e-waste secara haram dalam negara memandangkan pelaksanaan moratorium selama enam bulan dilihat tidak berkesan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Malaysia merupakan negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya. Sehubungan itu, pengimportan e-waste tidak dibenarkan masuk ke dalam Malaysia. Justeru, ingin ditegaskan bahawa Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak pernah memberi kelulusan atau membenarkan sebarang pengimportan e-waste sepanjang tempoh ini. Sehubungan itu, isu moratorium adalah tidak berkaitan. 


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 jelas memperuntukkan berkenaan kesalahan bagi sebarang penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau ke dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima (5) tahun dan denda tidak kurang dari satu ratus ribu Ringgit Malaysia (RM100,000) dan tidak melebihi sepuluh juta Ringgit Malaysia (RM10 juta). 


  1. Tindakan akan diambil kepada pihak pengimport, ejen penghantaran dan logistik, pengangkutan kargo dan “liners/carriers” yang terlibat dalam pengimportan buangan berbahaya termasuk e-waste secara haram dengan syarat pemilik tersebut boleh dikenal pasti.


  1. Bagi e-waste yang dikesan masuk ke Malaysia secara haram, tindakan yang diambil adalah melaksanakan pemulangan semula (repatriation) ke negara asal selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel. Berdasarkan rekod, sebanyak satu ribu dua ratus empat puluh satu (1,241) kontena telah diperiksa oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), JAS, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta agensi penguatkuasaan lain sepanjang tempoh 2021 hingga 2025. Daripada jumlah tersebut, tujuh ratus satu (701) kontena didapati mengandungi e-waste dan telah ditahan. 


  1. JAS telah mengeluarkan arahan pemulangan kepada semua konsaini yang terlibat melalui notis arahan di bawah Seksyen 31 AKAS 1974 berdasarkan maklumat manifest JKDM atau bill of landing. Daripada tujuh ratus satu (701) kontena yang mengandungi e-waste tersebut, sebanyak empat ratus dua puluh lapan (428) kontena telah berjaya dipulangkan semula ke negara asal mengikut prosedur yang ditetapkan. 


  1. Usaha membanteras kemasukan e-waste secara haram sememangnya merupakan satu perjuangan yang berpanjangan dan mencabar. Namun demikian, Kementerian komited untuk terus memperkukuh kerjasama rentas agensi termasuk dengan pihak penguatkuasaan dan rakan antarabangsa dan tidak akan berputus asa dalam memastikan Malaysia dilindungi daripada ancaman pencemaran alam sekitar akibat e-waste.


Sekian, terima kasih.



Attachments