Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa cakna berkaitan pengurusan sisa panel solar dan bateri kenderaan elektrik (Electric Vehicle - EV). Ini adalah penting bagi memastikan pertumbuhan pesat penggunaan panel solar dan industri EV tidak membawa kepada risiko pencemaran baharu. Strategi ini merangkumi beberapa aspek utama antaranya:
Dasar dan Perundangan
Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menetapkan supaya buangan terjadual termasuk bateri terpakai perlu melalui proses pemerolehan kembali selari dengan konsep cradle to cradle bagi mengurangkan impak pencemaran kepada alam sekitar. Selain itu, teknologi pemerolehan kembali yang digunakan juga perlu mematuhi perundangan alam sekitar yang ditetapkan.
Panel solar dan sisa bateri EV dikelaskan sebagai buangan terjadual di bawah kod SW 103, Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974). Oleh itu, pengurusan panel solar dan sisa bateri EV adalah tertakluk di bawah peraturan tersebut.
Teknologi Pemerolehan Kembali
Di Malaysia, kini terdapat lima (5) buah fasiliti* pemerolehan kembali luar tapak bagi kod SW 103. Teknologi pemerolehan kembali bateri terpakai melibatkan proses mengekstrak bahan berharga dalam bateri seperti litium, kobalt dan nikel. Terdapat lima (5) Fasiliti bagi mengolah dan mengitar semula bateri terpakai (bateri EV) di Malaysia iaitu:
Hi Tech Full Recovery (M) Sdn Bhd, Padang Meha ,Kedah - 50 metrik tan/bulan
Sungeel Hi Tech Sdn Bhd,Pelabuhan Klang, Selangor - 300 metrik tan/bulan
Tess Amm (M) Sdn Bhd , Pasir Gudang ,Johor - 30 metrik tan/bulan
Econili di Perak - 1,000 metrik tan/bulan
MS Waste di Negeri Sembilan - 2160 metrik tan/bulan
Selain itu terdapat 20 kemudahan pemerolehan kembali penuh (full recovery facility) dan 108 kemudahan pemerolehan kembali separa (partial recovery facility) yang dilesenkan oleh JAS untuk e-waste .
Manakala sejumlah 136 pusat pengumpulan telah berdaftar dengan JAS yang terdiri daripada PBT, peruncit, Badan Bukan Kerajaan, Non-Government Organization (NGO) dan industri bagi pengumpulan sisa ewaste dari isi rumah.
Pengumpulan dan pemisahan awal yang melibatkan pengasingan bateri melalui jenis bateri sama ada bateri litium-ion, nikel-kadmium dan sebagainya. Seterusnya proses nyahcas bateri akan dilakukan bagi mengelakkan risiko letupan atau kebakaran semasa kitar semula. Plat bateri seterusnya akan melalui proses pemecahan sehingga menjadi metal oxide powder (black mass) sebelum dihantar untuk proses hidrometalurgi;
Teknologi Hidrometalurgi menggunakan kaedah larutan kimia untuk melarutkan bahan aktif dalam bateri. Di dalam proses ini unsur seperti litium, kobalt dan mangan dapat diasingkan melalui proses elektrolisis; dan
Teknologi Pirometalurgi melibatkan pembakaran bateri pada suhu tinggi untuk mengekstrak logam berharga. Proses ini lebih cepat tetapi menghasilkan pelepasan karbon yang tinggi.
Kementerian melalui JAS percaya teknologi dan kemudahan sedia ada ini berkeupayaan untuk mengurus sisa panel solar dan bateri EV dalam Negara.
Bagi memastikan pengoperasi premis yang ditetapkan buangan terjadual berkaitan yang memproses sisa elektrik-elektronik yang dilesenkan, pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan secara berkala sekurang-kurangnya 3 kali setahun.
Manakala premis yang selain dari yang dilesenkan, pemeriksaan dilakukan secara rutin dengan mengambilkira keseriusan sesuatu pencemaran, kekerapan aduan pencemaran yang di adu oleh orang awam, lokasi kilang yang berhampiran dengan takat pengambilan air. Selain itu, inisiatif lain bagi mengawal pengoperasian kilang haram e-waste antaranya seperti :-
Perwakilan kuasa kepada Polis DiRaja Malaysia untuk Seksyen 34B AKAS 1974 bagi penyiasatan kes pengimportan dan pemprosesan e-waste secara haram;
Mengadakan kerjasama dengan agensi lain seperti PDRM dan NFCC daripada segi persediaan untuk menyelesaikan kes-kes berimpak tinggi yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram; dan
Menggiatkan usaha membanteras kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste yang diseludup masuk secara haram melalui operasi bersepadu seperti Op Hazard yang melibatkan pelbagai agensi.
Dengan pelaksanaan strategi tersebut, Kementerian berharap dapat memastikan bahawa pertumbuhan pesat penggunaan panel solar dan industri EV di Malaysia berjalan seiring dengan perlindungan alam sekitar yang ketat dan membuka peluang baharu dalam ekonomi kitaran.
Sekian, terima kasih.