Tuan Yang di-Pertua,
Berdasarkan Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, pentadbiran tanah diperuntukkan di bawah kuasa eksekutif Kerajaan Negeri masing-masing. Kerajaan Persekutuan pula berperanan dalam penggubalan undang-undang dan dasar, penyelarasan dan perundingan serta memberi panduan dan nasihat agar pentadbiran tanah dilaksanakan berlandaskan kedaulatan undang-undang.
Justeru, sinergi di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah amat penting bagi memastikan pentadbiran tanah dilaksanakan secara cekap, berhemah dan dalam masa yang sama menjamin keharmonian serta kestabilan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Dalam hal ini, Majlis Tanah Negara merupakan forum utama di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri yang diwujudkan di bawah Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan dan perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Majlis Tanah Negara bertanggungjawab dalam menggubal dasar-dasar negara mengenai pentadbiran, pemajuan dan pengawalan penggunaan tanah di seluruh negara termasuklah bagi tujuan perlombongan, pertanian dan perhutanan. Majlis ini turut berperanan untuk menasihati Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri mengenai penggunaan tanah, cadangan perundangan tanah atau berkaitan pentadbiran undang-undang berkenaan.
Selain itu, Mesyuarat Pengarah Tanah Malaysia turut dilaksanakan dua kali setahun sebagai platform untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri meneliti dan merundingi isu-isu berkaitan tanah bagi memastikan perundangan dan pentadbiran tanah dilaksanakan secara selaras, teratur dan konsisten.
Sebarang isu-isu khusus dalam pentadbiran serta pembangunan tanah yang merentasi bidang kuasa semua Kerajaan-kerajaan Negeri juga akan dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Mesyuarat ini adalah amat penting dalam usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya dalam penyelarasan dasar serta pelaksanaan inisiatif pembangunan tanah yang lebih tersusun, strategik dan berkesan.
Sekian, terima kasih.