Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

02 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

42

Soalan

Senator Tuan Abun Sui Anyit minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan bagaimanakah pengurusan hutan dan sumber asli dilaksanakan dengan penglibatan komuniti luar bandar, tanpa menjejaskan kelestarian alam dan hak mereka untuk menyara hidup.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam amat menggalakkan penyertaan masyarakat orang asli,

orang asal dan tempatan dalam pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan hutan sebagaimana yang dinyatakan dalam Dasar Perhutanan Malaysia. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti berikut:


  1. Perhutanan Sosial yang bukan sahaja bertujuan mengurus hutan secara berkekalan, tetapi juga menjamin kesejahteraan sosioekonomi komuniti yang bergantung kepada sumber hutan sebagai mata pencarian dan sumber makanan semula jadi. Salah satu program yang dilaksanakan ialah Program Buy Back Guarantee oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Program ini bertujuan untuk menambah sumber pendapatan masyarakat Orang Asli di kawasan Tasik Chini, Cameron Highlands dan Janda Baik melalui penjualan anak pokok seperti merbau, keruing kertas, petai, meranti tembaga dan cengal kepada jabatan perhutanan untuk digunakan dalam usaha aktiviti restorasi dan penghijauan semula kawasan hutan.


  1. Penglibatan komuniti setempat dalam tadbir urus pengurusan hutan melalui Joint Forest Management (JFM) seperti yang dilaksanakan di Hutan Simpan Kelawat, Sabah. Menerusi pendekatan ini, komuniti tempatan diberikan ruang untuk menjalankan aktiviti sara hidup termasuk aktiviti pertanian berskala kecil, di samping terlibat secara langsung dalam usaha restorasi hutan melalui penanaman semula pokok. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti, malah menyumbang kepada pemulihan semula fungsi ekologi hutan sebagai kawasan tadahan air.


  1. Jabatan Hutan Sarawak melalui dana Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWWKH) telah melaksanakan beberapa projek yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti hutan. Antaranya termasuklah penyediaan bahan binaan bumbung kepada 174 orang komuniti Penan di Long Jekitan, Ulu Baram untuk pembaikan tempat kediaman dan rumah komuniti yang menjadi pusat kegiatan sosial dan kerja baik pulih jambatan titi di Klinik Kesihatan Nanga Merit, Limbang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih selamat, cepat dan efisien.


  1. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama jabatan-jabatan perhutanan negeri juga membangunkan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa bagi menjana peluang ekonomi dan pendapatan kepada komuniti setempat melalui aktiviti ekopelancongan berasaskan hutan. Antara aktiviti yang dikenal pasti bagi tujuan ini termasuk pendakian bukit dan gunung, penerokaan gua, aktiviti tali aras tinggi, tinjauan burung serta sukan berbasikal lasak.


Sekian, terima kasih.



Attachments