Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

02 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

10

Soalan

Senator Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan jumlah unjuran rekod Bahan Sisa Terjadual Komponen Elektronik (electronic scheduled waste) di Malaysia dan bagaimanakah langkah menangani isu kemasukan sisa elektronik (e-waste) haram dari luar negara secara sifar toleransi dilaksanakan dengan mengamalkan tahap integriti yang tinggi.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Yang Berhormat Senator, Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS), jumlah penghasilan e-waste daripada sektor industri di seluruh negara bagi tempoh lima (5) tahun, iaitu dari 2020 hingga 2024, adalah sebanyak lima ratus lapan puluh enam ribu enam ratus lima (586,605) tan metrik. Manakala, bagi tempoh yang sama, penghasilan e-waste daripada isi rumah direkodkan sebanyak sepuluh ribu enam ratus lima puluh empat (10,654) tan metrik. ini menjadikan keseluruhan penghasilan e-waste dalam negara dalam tempoh lima (5) tahun adalah sebanyak lima ratus sembilan puluh tujuh ribu dua ratus enam puluh (597,260) tan metrik. 


  1. Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, Malaysia merupakan negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya. Sehubungan itu, pengimportan e-waste adalah tidak dibenarkan di negara ini. Justeru, ingin ditegaskan bahawa Kementerian melalui JAS tidak pernah memberi kelulusan atau membenarkan sebarang pengimportan e-waste sepanjang tempoh ini.


  1. Kerajaan memandang serius terhadap sebarang aktiviti pengimportan haram buangan terjadual yang boleh menjejaskan keselamatan alam sekitar serta kesihatan awam dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup masuk sisa e-waste ke dalam negara. 


  1. Bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara tuntas dengan pendekatan Whole of Nation, Kementerian bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Menangani Isu Kemasukan E-Waste Haram.


  1. Selain itu, NRES juga telah mengemukakan permohonan untuk mengklasifikasikan e-waste di bawah kategori larangan mutlak, Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Ketika ini, e-waste masih disenaraikan di bawah Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 iaitu barangan yang hanya boleh diimport dengan kelulusan permit import (AP) daripada pihak berkuasa yang ditetapkan. 


  1. Sebagai perkongsian, pada 28 Februari 2026 yang lepas, saya telah mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang untuk meninjau status penahanan kontena yang mengandungi e-waste. Lawatan ini adalah susulan daripada dapatan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi memperkukuh tadbir urus dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini.


  1. Susulan lawatan tersebut, saya telah mengarahkan JAS bersama-sama agensi berkaitan untuk melaksanakan Operasi Bersepadu Khas e-waste bagi menyelesaikan lambakan kontena yang belum diperiksa agar Kementerian dapat mengenal pasti secara tepat bilangan kontena yang terlibat dengan penyeludupan e-waste


  1. Selain itu, Kementerian komited dalam melaksanakan pelbagai langkah untuk membanteras jenayah melibatkan  isu penyeludupan sisa e-waste ke dalam Negara yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat. Antara tindakan yang dilaksanakan adalah:


  1. Memperkukuhkan mekanisma kawalan di pintu masuk sempadan serta meningkatkan penguatkuasaan;

  2. Meningkatkan kerjasama antarabangsa dari segi perkongsian maklumat mengenai kapal kontena disyaki mengandungi e-waste;

  3. Mengaktifkan larangan menurunkan kontena yang disyaki mengandungi e-waste daripada kapal (discharge);

  4. Perwakilan kuasa dan kerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti PDRM dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk menjalankan siasatan penyeludupan e-waste serta kes yang berkaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram; dan

  5. Menggiatkan usaha membanteras kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste yang diseludup masuk secara haram.


  1. Sebagai penutup, Kerajaan akan terus memperkukuh penguatkuasaan, kerjasama antara agensi serta kawalan sempadan bagi memastikan sebarang cubaan menjadikan negara sebagai destinasi pelupusan e-waste haram dapat dibanteras sepenuhnya. Kementerian berpendirian teguh, Malaysia bukan tempat buangan sampah.


Sekian, terima kasih.



Attachments