Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perhutanan, Alam Sekitar, Mineral

Nombor Soalan

44

Soalan

Senator Tuan Manolan bin Mohamad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :- 

  1. apakah jaminan Kerajaan bahawa aktiviti pembalakan dan aktiviti  perlombongan tidak menjejaskan tanah adat serta sumber keperluan asas kehidupan masyarakat Orang Asli; dan 

  2. apakah tindakan yang telah diambil oleh Kementerian berkaitan pencemaran sungai di Kampung Kelaik Pos Blau Gua Musang.


Jawapan

Soalan (a)


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan komitmen yang teguh dalam memastikan setiap aktiviti pengusahasilan sumber asli, sama ada pembalakan mahupun perlombongan, dilaksanakan secara terkawal dan bertanggungjawab selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia. Jaminan ini berteraskan kepada kerangka perundangan yang ketat, mekanisme penilaian impak yang komprehensif, serta dasar perlindungan kawasan sensitif yang jelas bagi memastikan hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara daripada sebarang kesan negatif.


  1. Dalam sektor perhutanan, Kerajaan mengamalkan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) dan piawai pensijilan Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) bagi memastikan aktiviti pembalakan tidak menjejaskan tanah adat dan sumber keperluan asas. Langkah proaktif telah diambil menerusi mesyuarat berkala dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejak tahun 2012 untuk menangani isu pengurusan hutan secara harmoni. 


  1. Selain itu, proses mengenal pasti dan menanda lokasi penting dari segi budaya, ekologi, ekonomi, mahupun agama dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan kawasan istimewa tersebut dikecualikan daripada aktiviti pengusahasilan. Setiap projek juga diwajibkan melalui Penilaian Impak Sosial (SIA) pada peringkat sebelum, semasa, dan selepas aktiviti bagi menilai serta menyediakan langkah mitigasi yang berkesan terhadap kehidupan masyarakat setempat.


  1. Bagi aktiviti perlombongan pula, Kerajaan mengguna pakai pendekatan yang sangat berhati-hati melalui mekanisme kawal selia yang ditetapkan. Walaupun kelulusan tenemen mineral tertakluk kepada Enakmen Mineral Negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, setiap projek perlombongan komersial diwajibkan mengemukakan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 


  1. Sebagai sebahagian daripada proses tersebut, aspek Penilaian Impak Sosial (SIA) turut dilaksanakan bagi mengenal pasti kesan terhadap mata pencarian, budaya, dan kebajikan masyarakat Orang Asli. Ini memastikan sebarang potensi risiko terhadap sumber air, kawasan hutan adat, atau kawasan rayau tradisi dinilai secara menyeluruh sebelum sesuatu projek dipertimbangkan.


  1. Sebagai jaminan tambahan, dasar semasa Kerajaan adalah tidak meluluskan Operating Mining License (OMS) bagi aktiviti perlombongan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK), kawasan hutan perlindungan, dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS). Malah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang menjalankan kajian impak perlombongan REE secara berfasa selama lima tahun yang merangkumi aspek hidrologi, tanah, flora, fauna, serta sosio-ekonomi bagi memastikan setiap keputusan dasar dibuat berasaskan bukti saintifik. Kerajaan juga telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE yang merangkumi keperluan pemulihan tanah secara progresif dan pemantauan berkala bagi memastikan kawasan yang terjejas dipulihkan mengikut piawaian yang ditetapkan.


  1. Secara keseluruhannya, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui platform seperti Majlis Mineral Negara (MMN) memastikan industri mineral dan perhutanan diuruskan selaras dengan prinsip tadbir urus di bawah Kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3). Kerajaan tidak menafikan bahawa setiap aktiviti pembangunan mempunyai risiko tertentu, namun pendirian Kerajaan adalah amat jelas dan tegas bahawa sebarang cadangan projek tidak akan diluluskan sekiranya dapatan teknikal dan penilaian menunjukkan ia berpotensi menjejaskan tanah adat, sumber air, kawasan rayau, atau kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli.


Soalan (b)


  1. Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan operasi penguatkuasaan dan pemantauan susulan terdapatnya aduan mengenai aktiviti perlombongan yang dikaitkan dengan punca pencemaran Sungai Kelaik, Gua Musang, Kelantan.


  1. Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan oleh JAS terhadap pematuhan kedua-dua Syarikat terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), JAS mendapati terdapat dua (2) Syarikat yang terbabit dalam aduan tersebut iaitu Aqua Orion Sdn Bhd dan Redstar Capital Sdn Bhd (Pajakan Melombong Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd).


  1. Tindakan yang telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar susulan aduan yang diterima dan penguatkuasaan ke atas kedua-dua syarikat perlombongan tersebut adalah seperti berikut:


  1. JAS telah menjalankan siasatan pada 11 dan 17 Disember 2024 ke tapak projek Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd. (Redstar Capital Sdn. Bhd.), premis tidak beroperasi, tiada sebarang kerja-kerja mengorek bijih besi atau memproses bijih besi. JAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ketidakpatuhan syarat-syarat kelulusan Laporan EIA. Tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta 127 sekiranya didapati penggerak projek gagal mematuhi mana-mana syarat kelulusan Laporan EIA tersebut bagi memastikan pelaksanaan projek dapat mengurangkan dan meminimakan kesan kepada reseptor sensitif alam sekitar termasuk pelaksanaan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Management Plan – EMP) oleh Penggerak Projek;


  1. JAS turut menjalankan siasatan pada 11 dan 17 Disember 2024 ke tapak projek Syarikat Aqua Orian Sdn. Bhd. dan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Akta 127 termasuk perintah larangan atau perintah berhenti kerja di bawah seksyen 34AA kepada Syarikat Aqua Orian Sdn. Bhd. yang telah menjalankan aktiviti yang ditetapkan tanpa kelulusan di bawah subseksyen 34A(3) dan kertas siasatan telah di buka di bawah subseksyen 34A(6). JAS juga telah mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan untuk meminta pihak PTG Negeri Kelantan agar menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada pihak Syarikat tersebut sehingga Laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan; dan 


  1. Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek oleh JAS terutamanya berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam atau masyarakat setempat berkaitan pencemaran alam sekitar dan sebarang ketidakpatuhan terhadap di bawah Akta 127 akan diambil tindakan perundangan yang tegas.


  1. NRES melalui JAS komited dan akan mengambil tindakan tegas dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran.


Sekian, terima kasih.



Attachments