Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a)
Dalam mendepani cabaran kelestarian alam, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa berpegang teguh kepada prinsip federalisme sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerjasama strategik ini dilaksanakan melalui pendekatan yang menghormati pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan pengurusan sumber asli dan alam sekitar dilakukan secara bertanggungjawab dan mampan.
Sementara kita menghormati bidang kuasa negeri, namun adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk mengurus kesan daripada pengurusan sumber asli yang tidak lestari seperti kejadian bencana, pencemaran alam sekitar, isu-isu berkaitan orang asli dan isu-isu kesihatan. Selain itu, pematuhan kepada komitmen antarabangsa seperti Perjanjian Paris, Komitmen Negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 dan lain-lain perjanjian global perlu dihormati bagi menjaga kredibiliti Negara di persada antarabangsa.
“Kelestarian alam, tanggungjawab bersama”
Langkah utama dalam menyeimbangi dasar ini adalah melalui pemerkasaan platform rundingan rasmi seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE). Mesyuarat ini memainkan peranan penting dalam menyelaraskan dasar dan strategi pengurusan alam sekitar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sekaligus mengelakkan pertindihan atau percanggahan pelaksanaan. Selain itu, mesyuarat ini turut menjadi medan perkongsian amalan terbaik antara negeri, memperkukuh komitmen bersama terhadap kelestarian alam dan memastikan setiap pihak memainkan peranan secara bersepadu.
Penyelarasan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini turut diperkukuh melalui platform-platform lain di bawah Kementerian iaitu Majlis Mineral Negara (MMN) dan Majlis Tanah Negara (MTN). Dalam hal ini, MTN ke-77 dan ke-78 antara lain menegaskan bahawa Hutan Simpanan Kekal (HSK) hendaklah dikekalkan fungsi utamanya sebagai kawasan perlindungan dan sebarang aktiviti bukan perhutanan termasuk perlombongan hendaklah diteliti secara ketat serta tidak menjadi pendekatan pembangunan lazim. Manakala, MTN ke-81 pula mempergiat pewartaan HSK di kawasan Central Forest Spine (CFS).
Dalam sektor mineral, khususnya pembangunan unsur nadir bumi (REE), Kerajaan melalui Kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) mengintegrasikan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan mineral tidak mengabaikan kelestarian ekosistem. Sebagai panduan teknikal, Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE telah disediakan dan diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 20 Disember 2023. SOP ini menjadi dokumen panduan komprehensif yang merangkumi fasa pra-perlombongan hingga pasca-perlombongan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan SOP ini tetap mengambil kira kerangka perundangan negeri masing-masing, selaras dengan bidang kuasa negeri terhadap urusan tanah dan mineral. Bagi isu sensitif seperti perlombongan di dalam HSK, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kini sedang melaksanakan kajian menyeluruh selama lima tahun bagi menilai impak terhadap hidrologi, tanah, flora, fauna, dan stok karbon sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan.
Seterusnya, pemerkasaan perundangan perhutanan dilaksanakan melalui Pindaan Akta Perhutanan Negara 2022. Pindaan ini mewajibkan proses pendengaran awam serta penggantian dan pewartaan serentak bagi mana-mana kawasan HSK yang diwartakan keluar. Bagi menyokong inisiatif negeri, Kerajaan Persekutuan menyediakan insentif kewangan melalui Ecological Fiscal Transfer (EFT) untuk membantu Kerajaan Negeri melindungi kawasan tadahan air dan menambah kawasan perlindungan baharu. Sebagai langkah perlindungan tambahan, Kementerian secara tegas tidak meluluskan Operating Mining Scheme (OMS) bagi aktiviti perlombongan dalam HSK, kawasan hutan perlindungan, dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), di samping mempertingkatkan usaha pemuliharaan kawasan hutan terosot melalui penanaman pokok spesies hutan.
Akhir sekali, dari sudut penguatkuasaan, tindakan bersepadu diperkukuh melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang melibatkan Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi teknikal berkaitan. Kerjasama ini bertujuan membanteras perlombongan haram yang berpotensi menjejaskan kelestarian alam sekitar dan merugikan hasil negeri. Secara keseluruhannya, integrasi antara penyelarasan dasar, insentif ekonomi, dan penguatkuasaan bersama ini merupakan kunci utama dalam menjamin kelestarian khazanah alam Malaysia demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
Soalan (b)
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam komited dalam usaha memelihara khazanah hutan negara dan memastikan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok dicapai.
Sehingga kini, Malaysia mempunyai kawasan berhutan seluas 17.97 juta hektar atau 54.31 peratus daripada keluasan tanah negara. Daripada jumlah tersebut, keluasan HSK adalah 10.7 juta hektar atau 32.33 peratus daripada keluasan tanah negara.
Sekian, terima kasih.