Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 24 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Ukur dan Pemetaan | Nombor Soalan | 43 | Soalan | Senator Datuk Bobbey Bin Suan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah pendirian serta langkah diplomatik Kerajaan Malaysia berhubung laporan bahawa tiga buah kampung di Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia didakwa telah memasuki wilayah Malaysia.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan tanah seluas 5,207 hektar kepada Indonesia adalah tidak benar dan mengelirukan. Perkara ini telah dijelaskan secara terperinci oleh YAB Perdana Menteri dalam Sesi Penerangan Khas berhubung Penjajaran Sempadan dan Outstanding Boundary Problem (OBP) Malaysia - Indonesia di Dewan Rakyat pada 4 Februari 2026.
Asas penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia tidak dibuat berdasarkan prinsip pampasan, pertukaran wilayah atau untung rugi. Sebaliknya, ia berlandaskan perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang berkuat kuasa, kerja-kerja siasatan, penandaan dan pengukuran secara bersama di lapangan, serta rundingan dua hala yang telah melalui pelbagai fasa teknikal dan diplomatik sejak tahun 1978.
Dari sudut teknikal, penetapan jajaran sempadan adalah berpandukan Konvensyen 1891, Perjanjian 1915 dan Konvensyen 1928 antara British dan Belanda, yang menjadi asas undang-undang antarabangsa dalam menentukan persempadanan Malaysia - Indonesia. Kawasan OBP yang belum dimuktamadkan sebelum ini adalah kawasan rundingan dan tidak boleh dianggap milik mana-mana negara sehingga satu persetujuan dicapai.
Bagi kawasan OBP Sungai Sinapad - Sungai Sesai (B2700 - B3100), keluasan keseluruhan adalah 5,987 hektar. Sebelum jajaran dimuktamadkan, kawasan ini secara pentadbiran berada di bawah Indonesia. Berdasarkan prinsip Perjanjian 1915, Malaysia memperoleh tambahan 780 hektar, manakala baki 5,207 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia. Penentuan ini telah menyebabkan sebahagian kecil Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas berada dalam kawasan Malaysia (Sabah);
Dari segi perundangan, MoU ini telah disemak oleh Jabatan Peguam Negara dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah pada 5 Jun 2024. Kerajaan Negeri Sabah melalui surat bertarikh 6 Jun 2024 turut menyatakan tiada halangan terhadap pemeteraian MoU ini. Selaras dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Senarai Persekutuan (Senarai I, Jadual Kesembilan), urusan perjanjian dan persempadanan antarabangsa terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, proses rundingan sehingga termeterainya MoU ini telah dilaksanakan dengan penglibatan penuh wakil Kerajaan Negeri Sabah serta agensi teknikal berkaitan.
Kejayaan memuktamadkan jajaran sempadan ini memberikan kepastian perundangan dan pentadbiran kepada penduduk setempat. Ia membolehkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan, aspek keselamatan, pembangunan, pengurusan tanah serta sumber tempatan dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan tanpa pertindihan kuasa. Keputusan ini bertujuan menjaga kepentingan rakyat Sabah serta memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat terus terpelihara.
Kerajaan komited untuk memastikan mesej dan penerangan kepada rakyat disampaikan secara jelas, berfakta dan bertanggungjawab. Sebarang kenyataan awam juga wajar disampaikan dengan berhemah bagi memastikan suasana rundingan yang konstruktif serta hubungan dua hala Malaysia - Indonesia terus terpelihara. Kerajaan akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dan berasaskan undang-undang dalam menyelesaikan isu-isu persempadanan demi kepentingan strategik dan kedaulatan negara.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|