Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 24 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 27 | Soalan | Senator Puan Rita Sarimah Anak Patrick Insol minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah konkrit Kementerian untuk mengurangkan risiko banjir dan tanah runtuh serta bagaimana keberkesanan langkah ini dipantau dan diukur.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengurusan risiko bencana ini dilaksanakan secara kolaboratif mengikut bidang kuasa khusus. Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengurusan banjir, manakala Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menumpukan kepada aspek bencana geologi dan tanah runtuh.
NRES melalui JMG telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pemetaan kawasan ancaman kejadian tanah runtuh di seluruh negara meliputi keluasan kira-kira dua ribu sembilan ratus enam puluh enam kilometer persegi (2,966 km2). Inisiatif ini merangkumi kawasan di tanah tinggi seperti Cameron Highlands seluas empat ratus tujuh puluh lima kilometer persegi (475 km2) dan Kundasang seluas tiga ratus tujuh puluh kilometer persegi (370 km²) sebagai usaha awal memperkukuh perancangan pembangunan dan pengurusan cerun secara bersepadu.
Hasil pemetaan tersebut telah dimanfaatkan melalui penyediaan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) yang dikongsi bersama agensi perancang dan pelaksana seperti PlanMalaysia bagi menyokong perancangan guna tanah yang lebih teratur, selamat dan mampan. Sehingga kini, dua (2) jenis Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) telah dibangunkan, iaitu PBRC berasaskan linear based dan area-based. Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab menyediakan PBRC berasaskan linear-based bagi laluan Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, manakala JMG menyediakan PBRC berasaskan area-based yang meliputi lokasi selain jalan raya dan lebuh raya.
JMG juga telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan projek pemasangan peralatan amaran awal bencana geologi tanah runtuh (EWS) di 34 lokasi terpilih cerun kritikal tahap tinggi. Projek ini dilaksanakan sebagai satu tindakan kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman bencana geologi tanah runtuh.. Ia adalah selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang memberi penekanan aspek mitigasi bukan struktur seperti penggunaan sistem amaran awal, perancangan berasaskan risiko dan pemerkasaan kapasiti komuniti.
Seiring dengan itu, JMG turut memainkan peranan aktif dengan mengemukakan ulasan teknikal di peringkat Pusat Sehenti (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan, sekali gus memastikan pembangunan terutama di kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dapat dilaksanakan secara terancang, selamat dan mampan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|