Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 24 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 10 | Soalan | Senator Tuan Pele Peter Tinggom minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah implikasi langsung kepada Kerajaan Negeri sekiranya Perkara 5.2.3 berkenaan critical minerals dikuatkuasakan, memandangkan critical minerals termasuk di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Kerajaan Negeri dan bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Merujuk Perkara 5.2.3 di bawah Perjanjian antara Kerajaan Amerika Syarikat dan Kerajaan Malaysia mengenai Perdagangan Timbal Balik, Malaysia menyatakan komitmen untuk meneroka mekanisme semakan pelaburan masuk (inbound investment review) atas pertimbangan keselamatan negara, termasuk dalam sektor mineral kritikal dan infrastruktur kritikal.
Pertama, dari sudut Perlembagaan Persekutuan, mineral adalah di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri). Maka kuasa pemberimilikan tanah, pajakan perlombongan, kebenaran melombong dan royalti kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Perkara 5.2.3 ini tidak memindahkan kuasa tersebut kepada Kerajaan Persekutuan, dan tidak menjejaskan hak Negeri terhadap sumber mineral masing-masing.
Kedua, komitmen ini berkaitan aspek keselamatan pelaburan, bukan pemilikan atau pentadbiran sumber. Mekanisme yang diteroka adalah selaras dengan amalan antarabangsa seperti kerangka kawalan pelaburan di Australia dan Kesatuan Eropah. Tujuannya adalah untuk menilai risiko pengambilalihan atau pelaburan asing yang boleh menjejaskan keselamatan negara, rantaian bekalan strategik atau teknologi sensitif. Ia bukan instrumen untuk mengambil alih kuasa Negeri.
Ketiga, implikasi langsung kepada Kerajaan Negeri adalah dari sudut penyelarasan dan perkongsian maklumat. Sekiranya pelaburan asing dalam sektor mineral kritikal dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan, ia tertakluk kepada semakan tambahan di peringkat Persekutuan sebelum dimuktamadkan. Namun kelulusan pajakan dan lesen perlombongan tetap berada di bawah kuasa Negeri.
Keempat, pendekatan ini sejajar dengan prinsip penekanan kepada tadbir urus baik, keselamatan sumber dan pembangunan industri bernilai tambah. Malaysia sendiri telah memperkukuh penguatkuasaan terhadap perlombongan haram melalui operasi bersepadu antara agensi. Maka aspek keselamatan bukan perkara baharu, tetapi kesinambungan kepada usaha melindungi kepentingan strategik negara.
Kelima, tiada implikasi langsung terhadap hasil Negeri seperti royalti dan premium tanah. Sebaliknya, mekanisme ini berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur berkualiti tinggi serta menggalakkan pembangunan pemprosesan dan aktiviti hiliran di dalam negara.
Kesimpulannya, Perkara 5.2.3 tidak mengubah pembahagian kuasa Persekutuan dan Negeri. Kuasa sumber mineral kekal di tangan Kerajaan Negeri, manakala Persekutuan berperanan memastikan keselamatan negara dan kepentingan strategik terutamanya mineral kritikal yang dilindungi dalam konteks perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|