Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

25 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

55

Soalan

Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib [ Tenggara ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perkembangan terkini penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara (PBGN) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan bagaimana PBGN dapat memperkukuh pencegahan dan kesiapsiagaan negara dalam mendepani bencana geologi gempa bumi serta bencana alam lain rentetan siri kejadian gempa bumi yang berlaku sebelum ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Berhubung perkembangan terkini penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara atau PBGN, Kerajaan ingin memaklumkan bahawa penubuhan pusat ini kini sedang menuju ke fasa konsultasi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum kelulusan penubuhan. PBGN akan berfungsi sebagai entiti teknikal khusus di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi menyelaras pengurusan risiko bencana geologi secara lebih berfokus dan bersepadu, meliputi bencana seperti tanah runtuh, aliran puing, lubang benam, mendapan tanah dan gempa bumi.


  1. Dalam konteks memperkukuh pencegahan dan kesiapsiagaan negara terhadap risiko gempa bumi dan bencana geologi lain, peranan PBGN akan merangkumi beberapa aspek utama.


  1. PBGN akan bertindak sebagai pusat rujukan nasional bencana geologi, yang menyelaras kepakaran, data dan analisis geosains supaya semua keputusan berkaitan risiko bencana geologi dibuat secara berasaskan sains dan bukti.


  1. PBGN akan memperkukuh pemantauan dan analisis bahaya seismik, termasuk analisis data seismik, zon sesar aktif dan sejarah gempa bumi, serta menyokong pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Negara sebagai rujukan rasmi dalam mitigasi dan perancangan pembangunan.


  1. PBGN akan melaksanakan penilaian risiko dan impak kepada rakyat, termasuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi terhadap kerosakan struktur, kejadian tanah runtuh akibat gempa dan kesan sekunder, serta menyediakan input teknikal kepada perancangan guna tanah, pembangunan bandar dan pengurusan cerun. Pendekatan ini membolehkan risiko dikurangkan sebelum bencana berlaku, bukan hanya selepas kejadian.

  2. PBGN akan memberi sokongan teknikal kepada reka bentuk dan dasar kejuruteraan, termasuk pelaksanaan Malaysia National Annex to Eurocode 8, penilaian tapak pembangunan berhampiran zon sesar dan nasihat kepada pihak berkuasa tempatan, jurutera serta perancang bandar bagi memastikan bangunan dan infrastruktur lebih berdaya tahan terhadap gempa bumi.


  1. Semasa kejadian bencana, PBGN akan menyediakan penilaian teknikal pantas (rapid assessment), menjadi sumber rujukan saintifik kepada NADMA dan agensi responder, serta memberi nasihat berkaitan keselamatan struktur, cerun dan risiko gegaran susulan bagi memastikan tindak balas kecemasan dilaksanakan secara tepat dan berasaskan data.

 

  1. Dari perspektif sains dan amalan antarabangsa, gempa bumi merupakan fenomena semula jadi yang tidak boleh diramal dari segi masa, lokasi dan magnitud. Sehubungan itu, dasar Kementerian adalah berasaskan pengurusan risiko, pemantauan berterusan serta kesiapsiagaan menyeluruh, dan inilah pendekatan utama yang akan diperkukuh melalui penubuhan PBGN.

 

Sekian, terima kasih.



Attachments