Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 25 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 47 | Soalan | Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad [ Simpang Renggam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan respon Kementerian terhadap peningkatan momentum decarbonization global terutamanya untuk mempercepat adaptasi teknologi tenaga bersih dan mengurangkan emisi negara selaras trend dunia.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Seiring dengan peningkatan momentum penyahkarbonan di peringkat global, Kementerian ini telah menetapkan hala tuju yang jelas dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) negara melalui penjajaran dasar yang selaras dengan komitmen antarabangsa, khususnya di bawah Perjanjian Paris.
Malaysia telah mengemukakan sasaran pelepasan GHG yang lebih progresif kepada Perjanjian Paris di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) melalui Malaysia’s Third Nationally Determined Contributions (NDC 3.0) pada 24 Oktober 2025. Melalui NDC 3.0, Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan GHG secara mutlak sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara (million tonnes CO₂ equivalent - MtCO₂eq) menjelang tahun 2035 berbanding aras pelepasan puncak.
Daripada jumlah tersebut, pengurangan sebanyak 20 juta tan akan dilaksanakan melalui usaha domestik tanpa syarat, manakala baki 10 juta tan lagi tertakluk kepada sokongan antarabangsa dari segi pembiayaan perubahan iklim, pemindahan teknologi, serta sokongan pembangunan kapasiti.
Dalam hal ini, pencapaian semasa negara dalam usaha penyahkarbonan boleh dirujuk melalui laporan Malaysia’s First Biennial Transparency Report (BTR1) yang telah dikemukakan oleh pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kepada pihak UNFCCC. Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia telah mencapai sasaran NDC sebanyak 37.12% setakat tahun 2021.
Selain komitmen dasar, Kementerian juga mengambil langkah memperkukuh kerangka perundangan berkaitan perubahan iklim melalui penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Penggubalan rang undang-undang ini akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berkenasn terhadap sektor industri yang berkaitan, termasuk mewajibkan pelaporan pelepasan GHG.
Melalui kuasa perundangan RUUPIN, data yang lebih berintegriti dapat diwujudkan melalui pelaporan mandatori oleh industri di bawah Sektor Ekonomi Berjadual (Scheduled Economic Sector). Pelaporan mandatori ini akan menjadi prasyarat kepada skim perdagangan pelepasan (Emission Trading Scheme – ETS) di bawah RUUPIN. Melalui skim ini, pasaran karbon akan diperkenalkan di mana perdagangan kredit karbon berintegriti dapat dilaksanakan selepas RUUPIN berkuat kuasa kelak.
Pelaksanaan sistem pelaporan dan ETS dijangka akan mendorong pihak industri yang terlibat untuk meningkatkan penggunaan teknologi bersih seperti tenaga solar dan teknologi cekap tenaga dalam usaha bagi mengurangkan jumlah pelepasan dalam laporan mandatori yang perlu dikemukakan.
Selain itu, pengumuman pengenalan cukai karbon semasa pembentangan Belanjawan 2026 oleh YAB Perdana Menteri turut memberikan isyarat jelas kepada pasaran global bahawa Malaysia serius untuk melaksanakan mekanisme penentuan harga karbon (carbon pricing) bagi memacu pelaburan teknologi tenaga bersih. Langkah ini juga dijangka akan meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan industri untuk mengurangkan pelepasan GHG bagi mengelakkan implikasi kos daripada pelaksanaan cukai tersebut.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|