Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 25 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 35 | Soalan | Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan hala tuju semasa Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) berikutan banjir risiko cuaca ekstrem seperti Ribut Tropika Senyar, termasuk garis masa pelaksanaan, strategi penglibatan pihak berkepentingan serta tahap peruntukan dan keutamaan perbelanjaan Kerajaan bagi pelaksanaan MyNAP.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian ini mengambil maklum akan peningkatan kejadian cuaca ekstrem serta risiko banjir daripada Ribut Tropika Senyar sebagai antara insiden yang boleh dikaitkan dengan impak perubahan iklim. Selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN 2.0), Laporan Nationally Determined Contribution (NDC 3.0) dan Laporan Fourth National Communication (NC4), Kementerian ini sedang membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP).
Penetapan hala tuju MyNAP adalah berdasarkan kepada prinsip dan objektif strategik yang menyeluruh berkonsepkan ‘whole-of-government’’ serta mengarus perdanakan dasar dan pelaksanaan tindakan adaptasi di peringkat sektoral. Usaha sebegini dijangka akan membantu negara untuk membangunkan kerangka kerja inisiatif adaptasi yang lebih mantap dalam menghadapi ancaman perubahan iklim.
Pembangunan pelan tindakan seperti ini akan melibatkan beberapa proses seperti aktiviti pengumpulan data, analisis impak dan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan kebolehlaksanaan strategi adaptasi yang dirancang. Dokumen MyNAP ini adalah berasaskan data saintifik serta menyeluruh yang akan membantu kerajaan dalam menilai dan menetapkan keutamaan tindakan adaptasi yang akan memberikan pulangan sosio-ekonomi tertinggi bagi memastikan keberkesanan perbelanjaan awam.
Bagi tahun 2025, beberapa aktiviti dan gerak kerja awal telah dilaksanakan oleh pihak kementerian antaranya adalah seperti penubuhan Technical Working Groups (TWGs) bagi lima (5) sektor utama MyNAP yang akan dipengerusikan oleh kementerian peneraju bagi sektor-sektor tersebut, penganjuran mesyuarat dan bengkel Kick Off pembangunan MyNAP serta bengkel penyelarasan TWG MyNAP yang melibatkan sektor awam, sektor swasta, akademia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).
NRES juga telah mengadakan bengkel teknikal bersama pihak berkepentingan serta beberapa program perkongsian ilmu bersama pakar adaptasi serta penggubal dasar daripada negara United Kingdom, Jerman dan negara serantau. Kerangka dokumen MyNAP juga telah dibangunkan dan sedang diperincikan oleh pakar-pakar teknikal yang dilantik.
Buat masa ini, MyNAP dibangunkan menggunakan peruntukan dana antarabangsa iaitu Green Climate Fund (GCF). Bagi memastikan kebolehlaksanaan strategi adaptasi yang akan ditetapkan di bawah MyNAP, analisa bagi mengenal pasti keutamaan bidang pelaburan, keperluan sumber, penetapan langkah adaptasi yang jelas serta kaedah bagi memperkukuhkan keupayaan pembiayaan iklim yang melibatkan sektor awam dan swasta akan dilaksanakan dalam perancangan kerja tahun 2026.
Untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat, dokumen MyNAP dijangka akan disiapkan pada suku kedua tahun 2027 dan seterusnya dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dikemukakan secara rasmi kepada pihak UNFCCC.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|