Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 25 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 32 | Soalan | Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : langkah Majlis Mineral Negara (MMN) untuk menyelaraskan dasar dan tadbir urus perlombongan mineral strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri; dan bagaimana MMN memastikan sebarang perjanjian antarabangsa termasuk Perjanjian ART tidak menjejaskan hak negeri dalam pengurusan mineral dan kelestarian alam sekitar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a) Majlis Mineral Negara (MMN) merupakan platform penyelarasan tertinggi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam hal ehwal pembangunan industri mineral termasuk mineral strategik seperti unsur nadir bumi (REE). Melalui MMN, beberapa langkah utama telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan dasar serta tadbir urus perlombongan diselaraskan secara bersepadu dan menghormati pembahagian bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
MMN telah meluluskan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE di Malaysia pada 8 Mei 2023 yang kemudiannya diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 20 Disember 2023. SOP ini merangkumi panduan menyeluruh dari peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan termasuk keperluan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), pelaksanaan pemulihan progresif serta pemantauan alam sekitar secara berkala.
Selain itu, kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3), MMN memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus di bawah Teras 1 (Pemerkasaan Perundangan dan Persekitaran Industri) dan pembangunan rantaian nilai secara menyeluruh di bawah Teras 2. Ini termasuk cadangan penambahbaikan prosedur permohonan dan kelulusan, pengukuhan penguatkuasaan secara bersepadu serta pembangunan industri hiliran agar manfaat ekonomi tidak tertumpu kepada aktiviti huluan semata-mata.
MMN turut menjadi medan rundingan dan penyelarasan dalam isu pengagihan hasil, kawal selia eksport dan penyelarasan kadar royalti, tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Dalam konteks ini, Kerajaan Persekutuan menghormati peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri yang memperuntukkan kuasa kepada negeri berhubung permit dan pajakan melombong, manakala aspek pembangunan sumber mineral, eksport dan keselamatan operasi di bawah bidang kuasa Persekutuan.
Soalan (b) Seperti sedia maklum, MMN berperanan sebagai platform penyelarasan utama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam hal ehwal pembangunan serta pengurusan sumber mineral negara. Sehubungan itu, MMN memastikan bahawa sebarang dasar atau komitmen antarabangsa termasuk Perjanjian ART dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, khususnya pembahagian bidang kuasa di bawah Jadual Kesembilan.
Dalam konteks ini, MMN menjadi mekanisme semak dan imbang bagi memastikan bahawa sebarang perjanjian antarabangsa tidak menjejaskan hak Kerajaan Negeri dalam aspek kelulusan tenemen, pajakan melombong, kutipan royalti serta pengurusan tanah dan sumber mineral di negeri masing-masing. Pada masa yang sama, MMN turut memastikan bahawa pembangunan mineral dilaksanakan secara bertanggungjawab, dengan mengambil kira prinsip kelestarian alam sekitar, pematuhan kepada undang-undang domestik serta kepentingan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan. Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mengekalkan prinsip federalisme, memperkukuh kerjasama Persekutuan–Negeri, dan memastikan kepentingan negeri sentiasa terpelihara dalam pelaksanaan sebarang komitmen antarabangsa.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|