Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 25 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Biodiversiti, PERHILITAN | Nombor Soalan | 13 | Soalan | Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [ Pekan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah proaktif Kerajaan dalam menangani ancaman kehilangan habitat hidupan liar terutamanya akibat pembangunan pesat dan perubahan iklim. Bagaimana Kerajaan memastikan program pemuliharaan dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara efektif untuk memastikan keseimbangan ekosistem dan kelangsungan spesies terancam.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia sentiasa memberi penekanan terhadap ancaman kehilangan habitat hidupan liar terutamanya akibat perubahan guna tanah. Dalam hubungan ini, antara langkah proaktif yang telah diambil adalah seperti berikut:
penilaian dan penguatkuasaan Wildlife Management Plan (WMP) di semua negeri di Semenanjung Malaysia melibatkan projek pembangunan di kawasan habitat hidupan liar;
pelaksanaan program pengayaan habitat hidupan liar bagi menambah baik kualiti habitat untuk kelangsungan spesies hidupan liar;
pewujudan koridor hidupan liar sebagai rangkaian yang menghubungkan habitat-habitat hidupan liar yang terpisah;
pelaksanaan tindakan-tindakan konservasi seperti Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030 (National Elephant Conservation Action Plan 2023-2030 - NECAP 2.0), Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya (Malayan Tiger Crisis Action Plan 2021-2030 - MTCAP) dan Pelan Tindakan Konservasi Tapir Malaya (Malayan Tapir Conservation Action Plan 2021-2030 - MaTCAP); dan
pelaksanaan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) bagi menggalakkan kerajaan negeri mengukuhkan pengurusan kawasan perlindungan termasuk habitat hidupan liar.
Selain itu, aspek penguatkuasaan undang-undang turut diperkukuhkan bagi memastikan program dan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan secara efektif melalui tindakan-tindakan berikut:
pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dengan meningkatkan kadar penalti kesalahan daripada RM500 ribu kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun yang telah berkuat kuasa pada 30 Januari 2023;
penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar (Wildlife Crime Bureau - WCB) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani sindiket dan jenayah hidupan liar rentas sempadan;
kerjasama strategik Jabatan PERHILITAN bersama agensi-agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) iaitu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan Renjer Komuniti yang melibatkan pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara PDRM, masyarakat Orang Asli serta komuniti setempat;
penggunaan teknologi terkini seperti thermal drone dan aplikasi Spatial Monitoring and Reporting Tool (SMART) bagi mengukuhkan penguatkuasaan;
kerjasama antarabangsa dalam aktiviti penguatkuasaan dan perkongsian maklumat dengan INTERPOL dan agensi-agensi berkaitan bagi membendung jenayah hidupan liar rentas sempadan;
pemerkasaan Wildlife Crime Unit (WCU), Unit Perisikan Jenayah Hidupan Liar dan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (National Wildlife Forensic Laboratory - NWFL) di bawah Jabatan PERHILITAN yang bertindak sebagai flying squad dalam tindakan pantas penguatkuasaan hidupan liar;
penubuhan Pusat Perisikan dan Taktikal Anti-Jenayah Hidupan Liar (Intelligence and Tactical Centre for Wildlife Crime - INTAC) yang bertujuan mengumpul, menyelaras, menganalisa maklumat jenayah hidupan liar dan mengkoordinasi operasi penguatkuasaan yang berasaskan maklumat perisikan (intelligence-led enforcement); dan
penubuhan Malaysia Wildlife Enforcement Network (MY-WEN) bagi memperkukuhkan penguatkuasaan perdagangan hidupan liar khususnya di pintu masuk negara seperti lapangan terbang dan pelabuhan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|