Tuan Yang di-Pertua,
Berdasarkan data skim kediaman berstrata sehingga tahun 2024 yang diperolehi daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor bagi bangunan yang telah didiami pada tahun 2007 dan tahun-tahun sebelumnya, terdapat 42 skim dengan 10,779 petak di kawasan Parlimen Bangi yang masih tidak mempunyai hakmilik strata.
Bagi membantu pembeli petak mendapatkan hakmilik strata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negeri (PBN) telah melaksanakan usaha-usaha iaitu menyediakan bantuan dana bagi membiayai kos permohonan hakmilik strata untuk skim kediaman berstrata kos rendah/ kos sederhana rendah.
Melalui Kumpulan Wang Amanah Tabung Khas Hakmilik Strata yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan sejak tahun 2018, dana berjumlah RM3.3 juta telah diluluskan kepada 10 skim melibatkan sebanyak 1,736 petak. Daripada 10 skim tersebut, tujuh (7) skim telah berjaya didaftarkan hakmilik strata dengan 1,475 pemilik petak mendapat manfaat daripada penyelesaian urusan permohonan hakmilik strata ini.
Untuk Negeri Selangor, satu (1) skim iaitu Pangsapuri Shangri-La di Mukim Cheras yang mempunyai 149 petak telah diluluskan dana berjumlah RM315,680.00. Permohonan hakmilik strata sedang diproses oleh agensi-agensi yang terlibat untuk skim ini.
Selain itu, Kementerian telah diluluskan peruntukan mengurus berjumlah RM2juta di bawah Inisiatif Belanjawan Tahun 2026 untuk melaksanakan Program Skim Strata Khas MADANI. Empat (4) skim kediaman strata kategori kediaman kos rendah yang dimiliki oleh 1,213 pembeli petak dari kumpulan B40 akan turut mendapat manfaat daripada usaha menyelesaikan isu pendaftaran hakmilik strata ini.
Sekian, terima kasih.