Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

46

Soalan

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [ Kuantan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan bagaimanakah mekanisme  penyelarasan antara kementerian dengan Kerajaan negeri dan Jabatan  Perhutanan Negeri dalam menangani pencerobohan hutan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, selaras dengan Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, Majlis Tanah Negara (MTN) berperanan sebagai platform perundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dalam perkara yang berkaitan perhutanan termasuklah isu pencerobohan hutan. Dalam hal ini, MTN ke-79 pada tahun 2021 telah bersetuju supaya semua Kerajaan Negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di negeri masing-masing.


  1. Selain dari platform MTN, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri dalam menangani pencerobohan hutan. Antara inisiatif yang dilaksanakan merangkumi:


  1. Mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Operasi Hutan dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Hutan Daerah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi membincangkan isu pembalakan dan penyelarasan aktiviti penguatkuasaan; 


  1. Menjalankan operasi-operasi penguatkuasaan secara bersepadu yang melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat persekutuan dan negeri seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG), Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS);


  1. Menubuhkan pasukan penguatkuasaan pencerobohan tanah dan hutan yang melibatkan pelbagai agensi negeri dan persekutuan dalam membanteras aktiviti pencerobohan tanah dan hutan secara haram yang akan bergerak secara bersepadu dalam tindakan penguatkuasaan dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UNIFIED) di Negeri Pahang; dan


  1. JPSM terlibat secara langsung dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diterajui PERHILITAN, PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang melibatkan rondaan dan penguatkuasaan secara bersama oleh pelbagai agensi merangkumi Jabatan Perhutanan Negeri.


  1. Di peringkat operasi, JPSM telah menubuhkan Pusat Operasi Penguatkuasaan Berpusat (War Room) yang menggunakan teknologi pencerapan satelit terkini, seperti Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS) dan sistem e-Geospatial Perhutanan. Sistem ini membolehkan pemantauan perubahan litupan hutan dilakukan hampir masa nyata (near real-time). Maklumat pencerobohan yang dikesan akan disalurkan serta-merta kepada Jabatan Perhutanan Negeri yang berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan di lapangan.


Sekian, terima kasih.



Attachments