Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

43

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibharim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : 

  1. adakah Kerajaan akan mewajibkan FCC mengemukakan laporan impak tahunan yang diaudit pihak ketiga bebas termasuk data terperinci keluasan hektar hutan dilindungi, pengurangan emisi yang disahkan secara terbuka serta manfaat sosioekonomi komuniti setempat; dan 

  2. tindakan yang dikenakan jika prestasi gagal.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. FCC adalah sebuah instrumen yang dibangunkan dengan tujuan untuk menggalakkan penglibatan sukarela sektor swasta kepada inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan hutan bagi memindahkan kebergantungan hutan terhadap sumber kewangan kerajaan berasaskan model kewangan kerjasama awam-swasta.


  1. Struktur program ini melibatkan pendaftaran projek melalui penilaian jawatankuasa bebas selaras dengan keperluan-keperluan yang digariskan di bawah program FCC, termasuk sasaran matlamat  serta impak. Program FCC ini mempunyai 60 indikator output dan manfaat bersama (co-benefit) bagi menilai impak pelaksanaan projek konservasi.


  1. Projek yang telah dinilai dan berjaya didaftarkan di bawah program FCC akan dipadankan dengan penyumbang melalui perjanjian konservasi (Conservation Agreement), di mana pelaksana projek adalah tertakluk kepada syarat-syarat dan aktiviti yang dipersetujui antara kedua-dua pihak. Bagi memastikan ketelusan pelaksanaan dan tadbir urus sesebuah projek, instrumen FCC mewajibkan proses audit oleh pihak ketiga setiap 12 bulan sepanjang tempoh projek dilaksanakan. 


  1. Proses audit ini akan meliputi butiran berkaitan projek seperti lokasi dan jenis aktiviti yang dilaksanakan, kos setiap aktiviti, status pelaksanaan di lapangan, sumbangan kepada komuniti tempatan dan pengurangan pelepasan emisi (sekiranya berkaitan). Namun demikian, pengurangan pelepasan yang dinilai melalui FCC TIDAK boleh dijana sebagai kredit karbon atau digunakan sebagai offset karbon yang boleh didagangkan.


Soalan (b)



  1. Dibawah program FCC, pelaksana projek dan penyumbang adalah terikat kepada skop dan tanggungjawab yang telah digariskan  di dalam perjanjian konservasi (Conservation Agreement). Perjanjian ini mengikat secara perundangan semua pihak di dalam perjanjian tersebut untuk memastikan segala obligasi dan komitmen bagi menjayakan projek tersebut adalah dilaksanakan dan teratur.


  1. Sekiranya berlaku sebarang kegagalan atau kekangan di dalam pelaksanaan aktiviti bagi sesebuah projek, tindakan remedial atau pembetulan akan dilaksanakan. Dokumen CA juga menetapkan mekanisma melibatkan penggantungan dan penamatan projek sebagai langkah bagi menangani projek yang gagal untuk dilaksanakan atau disiapkan. Justeru itu, kerangka pelaporan secara berkala dan pemantauan projek adalah amat kritikal untuk memastikan projek dapat dilaksanakan secara efektif dan mengikut jadual.


Sekian, terima kasih. 



Attachments