Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

31

Soalan

Dr. Hajah Halimah Ali [ Kapar ] minta MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN menyatakan langkah pemulihan segera berhubung pencemaran di Sungai Puluh, Rantau Panjang serta sungai-sungai sekitar Pelabuhan Klang yang berpunca daripada pelepasan sisa dan aktiviti di kawasan pusat penetasan dan semaian ikan yang kini menjejaskan ekosistem sungai dan merosotkan hasil tangkapan para nelayan setempat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa komited dalam mengawal pencemaran terhadap alam sekitar di negara ini terutamanya bagi punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan peraturan-peraturan di bawahnya. Dalam konteks pencemaran sungai, JAS mengawalselia pencemaran yang berpunca daripada efluen perindustrian, kumbahan dan kawalan kepada projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA). 


  1. Namun terdapat pelbagai punca-punca pencemaran yang berisiko menyebabkan kemerosotan kualiti air sungai termasuklah aktiviti perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna yang dikawalselia oleh Jabatan atau Agensi yang lain.  Isu pencemaran yang dikaitkan dengan aktiviti pusat penetasan dan semaian ikan adalah di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Jabatan Perikanan Malaysia. 


  1. Impak pencemaran sungai bukan sahaja memberi kesan terhadap ekosistem, malah menggugat punca rezeki nelayan setempat. Sehubungan itu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan-tindakan berikut dalam menangani kemerosotan kualiti air sungai negara:


  1. Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan peraturan-peraturan di bawahnya untuk mengawal punca pencemaran;


  1. Mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan  pencemaran air supaya penguatkuasaan dijalankan secara lebih berfokus;


  1. Meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa di bawah Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasa yang lain bagi memastikan tindakan pemantauan serta penguatkuasaan di sungai secara berterusan dilaksanakan;


  1. Memperbanyakkan penganjuran dan meningkatkan keberkesanan program promosi dan kesedaran awam kepada semua pemegang taruh akan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar; dan


  1. Mengenakan tindakan tegas dengan pengeluaran notis arahan, kompaun, penahanan operasi kelengkapan, gantung/tarik balik lesen, perintah larangan dan tindakan mahkamah ke atas premis-premis yang didapati gagal mematuhi Akta 127 ini.


  1. Isu pencemaran sungai di negara ini perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan memandangkan sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai ini bukan hanya melibatkan sektor industri tetapi juga melibatkan sektor-sektor lain. Di samping itu, sisa daripada pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sisa dari rumah atau setinggan yang dilepaskan tanpa rawatan ke longkang dan dihanyutkan ke sungai juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai. Oleh itu, kerjasama antara semua pihak adalah penting dalam memastikan kualiti air sungai terus terjamin demi kesejahteraan rakyat.

 

Sekian, terima kasih.



Attachments