Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 12 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Biodiversiti, PERHILITAN | Nombor Soalan | 26 | Soalan | Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [ Pekan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan populasi harimau semakin terjejas akibat kematian harimau yang disebabkan oleh roadkill, pengecilan habitat, pemburuan haram dan sebagainya. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan bagi memulihara spesies ini untuk generasi akan datang.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia cakna akan krisis populasi Harimau Malaya. Dalam hubungan ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 telah bersetuju dengan pelaksanaan tindakan-tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030 melalui 3 pendekatan berikut:
mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi Harimau Malaya;
meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force - MyTTF) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai Pusat Kecemerlangan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya; dan
memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya seperti Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS).
Selain itu, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah dipinda dan dikuatkuasakan pada 30 Januari 2023 dengan meningkatkan kadar penalti kesalahan daripada RM500 ribu kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun.
Aspek penguatkuasaan terus diperkukuhkan melalui kerjasama strategik Jabatan PERHILITAN bersama agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) iaitu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan Renjer Komuniti yang melibatkan pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara PDRM, masyarakat Orang Asli serta komuniti setempat.
Kerajaan Persekutuan juga telah memperkenalkan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) pada tahun 2019 bagi menggalakkan kerajaan negeri mengukuhkan pengurusan kawasan perlindungan. Sehingga kini, sejumlah RM1.05 bilion telah diperuntukkan kepada kerajaan negeri bagi pelaksanaan EFT.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|