Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

18

Soalan

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [ Hulu Selangor ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan Kerajaan bagi memastikan sasaran mengekalkan 50% litupan hutan negara tidak terjejas akibat penyahwartaan kawasan hutan oleh Kerajaan Negeri serta perancangan Kementerian dalam memperkenalkan dasar nasional yang lebih tegas seperti prinsip No Net Loss of Forest.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Perhutanan Sabah komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan litupan hutan dan pokok-pokok.  Sehingga kini, keluasan hutan negara adalah berjumlah 17.97 juta hektar atau bersamaan dengan 54.31 peratus daripada keluasan tanah negara.


  1. Walaupun urusan tanah dan perhutanan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah tegas melalui pindaan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] yang telah diluluskan pada tahun 2022.

 

  1. Pindaan ini, khususnya melalui Seksyen 11 dan Seksyen 12, telah menetapkan syarat yang lebih ketat di mana sebarang cadangan penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) wajib melalui proses penyiasatan awam (public inquiry) dan perlu digantikan secara serentak dengan kawasan tanah lain yang sama luas atau lebih besar daripada kawasan tanah yang akan dikeluarkan. Langkah ini secara dasarnya menterjemahkan prinsip No Net Loss of Forest dalam perundangan negara.


Sekian, terima kasih.



Attachments