Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

14

Soalan

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [ Gua Musang ] minta MENTERI SUMBER  ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah mekanisma  Kementerian bagi menangani masalah ancaman gajah liar yang berterusan  kepada pekebun-pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kelapa sawit di kawasan Gua Musang.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030 sebagai panduan dalam melaksanakan pengurusan gajah jangka panjang termasuk yang melibatkan pekebun kecil di Gua Musang. 


  1. Antara tindakan mitigasi yang telah dilaksanakan di kawasan Gua Musang adalah seperti berikut:


  1. pembinaan 2 Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal sejak tahun 2017 di Pos Pasik dan Pos Aring 5, Gua Musang dengan jumlah liputan sepanjang 5 km di kawasan konflik manusia dan gajah. Secara keseluruhannya, sebanyak 4 SPEG kekal sepanjang 32 km telah dibina di negeri Kelantan; dan


  1. pelaksanaan 1 Program Komuniti Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEGKOM) mudah alih di kawasan konflik manusia dan gajah bermula 2025 di Kampung Subong, Kampung Terah, Kampung Awek dan Kampung Kundur, Gua Musang.


  1. Jabatan PERHILITAN juga memantau pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) di semua negeri di Semenanjung Malaysia yang melibatkan cadangan dan pelaksanaan projek pembangunan bersama pihak perunding, penggerak projek dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenal pasti impak dan tindakan mitigasi yang sesuai di kawasan habitat hidupan liar di Gua Musang. Antara tindakan mitigasi yang dilaksanakan adalah pemasangan kolar satelit ke atas 2 ekor gajah di Nenggiri bagi pemantauan pergerakan gajah.


  1. Selain itu, pemantauan rayauan gajah liar di lokasi hotspot dilaksanakan dengan tindakan operasi translokasi gajah konflik Gua Musang ke habitat yang lebih luas dan sesuai.


  1. Jabatan PERHILITAN turut mengadakan sesi libat urus dan kesedaran awam bersama penduduk setempat dan pemegang taruh bagi memberi kesedaran mengenai pengurusan konflik dan kaedah pengurusan kawasan pertanian yang betul.


  1. Kementerian juga mengurus dan menyelaras inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) bermula pada Mac 2024. BKHT merupakan bantuan kewangan yang diberikan secara one-off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Sebanyak hampir RM1 juta telah dimanfaatkan oleh 246 pemohon pada tahun 2024, manakala sebanyak hampir RM1.5 juta telah dimanfaatkan oleh 314 pemohon pada tahun 2025. Selaras dengan keberkesanan BKHT, bantuan ini diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta. 


Sekian, terima kasih.



Attachments