Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, antara punca utama yang menyumbang kepada konflik manusia dan kera ini berlaku adalah disebabkan oleh pengecilan habitat dan pembukaan serta pembangunan di kawasan berdekatan habitat hidupan liar. Selain itu juga, pengurusan sisa sampah yang kurang sistematik turut menyumbang kepada peningkatan aduan konflik di penempatan penduduk. Kadar pembiakan spesies primate yang tinggi juga menyebabkan populasi hidupan liar ini bertambah setiap tahun kerana hidupan liar ini merupakan spesies yang mudah beradaptasi dengan persekitaran dan mempunyai kemandirian serta kelangsungan hidup (survival) yang tinggi. Di samping itu, tindakan segelintir masyarakat yang memberi makanan kepada primate ini juga menjadi faktor yang menggalakkan berlakunya konflik antara manusia dan kera.
Antara penyelesaian jangka panjang yang dilaksanakan adalah pengemaskinian dan pelaksanaan Pelan Pengurusan Kera (Macaca fascicularis) bermasalah di Semenanjung Malaysia sebagai panduan dalam mengatasi masalah gangguan kera termasuklah mengenal pasti taburan populasi kera, memberikan khidmat nasihat, pemantauan, menangkap-pindah dan penggunaan teknologi terkini menjalankan kajian bagi menguruskan kera yang bermasalah. Selain itu, Jabatan mengadakan pelbagai kaedah hebahan melalui kenyataan media sosial, video pendek, poster dan papan tanda bagi meningkatkan kesedaran kepada rakyat. Ini termasuklah mengadakan program kesedaran awam ke arah keselamatan, kewujudan bersama (co-existence) dan kesedaran “tidak memberi makan kepada kera liar” bersama penduduk setempat dan pemegang taruh supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan kehadiran hidupan liar. Penyelidikan dengan kerjasama universiti tempatan turut dilaksanakan bagi mengkaji kaedah dan penggunaan teknologi dalam pengurusan hidupan liar yang berpotensi mengawal populasi kera;
Penyelesaian jangka pendek yang dilaksanakan adalah tindakan aduan konflik melalui pengurusan spesies primate bermasalah melalui:
program penakaian kera di kawasan yang berisiko konflik manusia dan hidupan liar;
menjalankan program bersepadu dengan agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penduduk kampung untuk melaksanakan program pelupusan kera bagi membasmi musuh tanaman;
memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat dan pemegang taruh untuk mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan gangguan dan kehadiran hidupan liar konflik di kawasan penempatan dan industri; dan
menjalankan program perangkap komuniti di mana setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan menyumbangkan perangkap kera untuk menangkap kera yang menimbulkan konflik.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, pengurusan pelupusan hidupan liar termasuk kera adalah tertakluk di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di mana merujuk kepada Seksyen 9 Akta 716, tiada seorangpun boleh memburu atau menyimpan serta melupuskan mana-mana hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen. Oleh itu, pelupusan hidupan liar termasuk spesies primate masih tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia.
Sekian, terima kasih.