Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 09 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 50 | Soalan | Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [ Merbok ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan jumlah sungai yang diklasifikasikan sebagai tercemar dan kritikal setakat ini dan apakah sasaran pemulihan yang dicapai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan mengapakah insiden pencemaran sungai masih berulang di lokasi yang sama walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil sebelum ini.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa peka terhadap alam sekitar dan kualiti air sungai melalui pelaksanaan pengawasan berterusan di 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai secara manual serta 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik di seluruh Negara.
Pada tahun 2025, daripada 672 sungai yang dipantau, sebanyak 33 (4.9%) sungai telah dikategorikan sebagai sungai tercemar. Walau bagaimanapun, tiada sungai yang direkodkan berada di dalam Kelas V (Nilai Indeks Kualiti Air - IKA <31.0) sepanjang tempoh tersebut.
Insiden pencemaran sungai di Negara ini masih berulang walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah peningkatan populasi serta kepesatan pembangunan industri dan ekonomi yang secara langsung menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.
Selain itu, berdasarkan analisis oleh JAS bagi tempoh 2020 hingga 2024, trend beban pencemaran daripada aktiviti ternakan babi dan sistem pengolahan kumbahan didapati kekal konsisten serta menyumbang peratusan yang besar kepada jumlah beban pencemaran air sungai di Negara ini.
Tambahan pula, kurangnya kesedaran dan tanggungjawab pengusaha kilang dan industri mendorong kepada pelanggaran undang-undang serta pelupusan sisa secara haram tanpa memikirkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat setempat.
Walau bagaimanapun, NRES melalui JAS terus komited dalam memantau dan menguatkuasakan peraturan-peraturan berkaitan untuk mencegah pencemaran alam sekitar. Namun, isu pencemaran sungai di Negara ini perlu ditangani secara holistik dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan amat diperlukan bagi meningkatkan kualiti air sungai dan seterusnya menangani masalah pencemaran sungai.
Untuk makluman, program pemulihan sungai di Negara ini dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|