Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 09 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 39 | Soalan | Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [ Kuala Kangsar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah kesan terhadap permukaan struktur muka bumi Malaysia bagi jangka masa panjang susulan insiden kejadian gempa bumi ini dan apakah status risiko kemungkinan kekerapan insiden gempa bumi boleh berlaku di Malaysia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kedudukan tektonik Malaysia yang terletak di atas Pentas Sunda serta berada di luar Lingkaran Api Pasifik memberikan asas kestabilan geologi yang baik kepada negara. Walau bagaimanapun, Kementerian ingin menegaskan bahawa kestabilan ini perlu dilihat secara relatif, memandangkan negara masih menerima kesan tegasan tektonik hasil interaksi plat-plat utama di rantau ini.
Dari segi kesan jangka panjang terhadap struktur muka bumi, impak gempa bumi berlaku secara kumulatif dan melibatkan perubahan pada struktur geologi serta bentuk muka bumi. Gegaran berulang berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar kuno, menyebabkan perubahan mikro-struktur batuan dan regangan pada lapisan kerak bumi. Dari sudut geomorfologi pula, kejadian gempa bumi boleh mengubah morfologi sungai serta menjejaskan kestabilan cerun secara kekal seperti yang berlaku di Ranau pasca gempa bumi tahun 2015.
Berdasarkan data pemantauan berterusan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), tahap risiko kejadian gempa bumi bagi tempoh sepuluh tahun akan datang dinilai berada pada tahap rendah hingga sederhana berdasarkan rekod sejarah, corak aktiviti seismik serta kedudukan tektonik negara. Sabah terus dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai aktiviti seismik paling aktif, dan kemungkinan berlakunya gempa bumi pada tahap sederhana hingga kuat masih wujud. Bagi Semenanjung Malaysia pula, walaupun risiko kejadian gempa bumi tidak dapat diketepikan sepenuhnya, namun berdasarkan analisis data empirikal dan rekod kejadian terdahulu, kejadian yang berlaku dijangka tidak melebihi magnitud 6.0.
Berhubung kekerapan kejadian, sehingga kini tiada teknologi yang mampu meramal masa tepat berlakunya sesuatu gempa bumi. Walau bagaimanapun, pemantauan berterusan menunjukkan bahawa gegaran berskala kecil dijangka akan terus berlaku secara sporadik sebagai sebahagian daripada proses pelepasan tenaga tektonik, dan maklumat ini akan digunakan sebagai asas kepada penilaian risiko serta perancangan kesiapsiagaan negara.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|