Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 09 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 16 | Soalan | Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan: pendirian terkini Kerajaan di dalam rundingan Perjanjian Plastik Global (Global Plastic Treaty); dan status pemakaian dan pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di premis tetap, hutan simpan, taman warisan dan taman laut di seluruh negara di setiap negeri.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a)
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengetuai perundingan Perjanjian Plastik Global (Global Plastic Treaty) melalui platform Intergovernmental Negotiation Committee to Develop an International Legally Binding Instrument on Plastic Pollution, including in the Marine Environment (INC) di bawah United Nations Environment Programme (UNEP). Sebanyak 7 siri rundingan telah berlangsung dan yang terbaru adalah Siri Rundingan ke-7 (INC-5.3) pada 7 Februari 2026 di Geneva, Switzerland.
Secara prinsip, Malaysia memberikan sokongan untuk membentuk Perjanjian Plastik Global selaras dengan Resolusi United Nations Environment Assembly (UNEA) 5/14 bagi menangani pencemaran plastik. Malaysia telah menyatakan pendirian dan prinsip Negara secara jelas dalam setiap sesi perundingan dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar dan ekonomi Negara. Malaysia akan terus komited dan menyokong perundingan ini bagi menjaga kepentingan Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.
Soalan (b)
NRES sedang dan akan terus komited melaksanakan inisiatif pelestarian plastik melalui Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 (Pelan SUP) dan Rangka Kerja Pelestarian Plastik di Malaysia 2021-2030 (Malaysia Plastics Sustainability Roadmap - MPSR). Untuk makluman, Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab mengenai Alam Sekitar (Mesyuarat MEXCOE) Bilangan 1 Tahun 2025 pada 17 April 2025 telah bersetuju untuk melaksanakan larangan beg plastik jinjit sekali guna mulai 1 Januari 2026. Pelaksanaan “Iarangan” ini adalah tertakluk kepada penerimaan dan kaedah pelaksanaan untuk disesuaikan oleh Kerajaan Negeri.
Perintah larangan adalah strategi tambahan selain pelaksanaan caj pencemaran ke atas permintaan beg plastik jinjit di premis tetap. Negeri - negeri yang telah melaksanakan perintah larangan beg plastik jinjit sekali guna di premis tetap adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sabah. Negeri Perak akan menjadi Negeri terbaru yang akan melaksanakan perintah larangan ini mulai 1 Mac 2026.
Secara keseluruhan, pelestarian plastik di Malaysia telah dilaksanakan secara berfasa. Industri plastik telah mengambil langkah dalam memastikan sektor pembuatan masing-masing (process manufacturing) mengambil kira pendekatan ekonomi kitaran seperti mana dinyatakan dalam MPSR. Bagi memastikan inisiatif pelestarian plastik kekal relevan, NRES kini sedang menjalankan Kajian Separuh Penggal (Mid-term Review) bagi mendapatkan status pelaksanaan dan mengenal pasti hala tuju secara menyeluruh bagi Pelan SUP dan MPSR.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|