Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

09 February 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

12

Soalan

Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib [ Tenggara ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan bersedia meminda peraturan berkaitan penggunaan tanah di Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi membolehkan aktiviti perlombongan secara terkawal dan lestari dijalankan sekaligus mengelakkan perlombongan haram yang memudaratkan alam sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) masih mengekalkan dasar sedia ada iaitu untuk tidak meluluskan sebarang kelulusan Surat Kebenaran Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme - OMS) bagi aktiviti perlombongan di kawasan-kawasan pemeliharaan iaitu Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan (PA), Kawasan Tadahan Air dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS). Dasar ini bertujuan bagi memastikan bahawa industri perlombongan tidak dilihat sebagai industri yang mengancam kelestarian alam dan tidak selari dengan prinsip pembangunan yang bertanggungjawab dan mampan.


  1. Isu perlombongan haram bukan berpunca daripada ketiadaan dasar di Hutan Simpanan Kekal (HSK), sebaliknya lebih berkait dengan aktiviti pencerobohan tanah, kelemahan pematuhan undang-undang dan tindakan terancang oleh pihak yang menjalankan perlombongan tanpa kebenaran. Sehubungan itu, Kementerian ini berpandangan bahawa melonggarkan peraturan penggunaan tanah di HSK bukanlah penyelesaian utama kepada isu perlombongan haram, malah berisiko menjejaskan fungsi ekosistem hutan yang kritikal kepada keselamatan sumber air, biodiversiti dan stok karbon negara.


  1. Pada masa ini, NRES melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang menjalankan kajian impak perlombongan REE dalam ekosistem hutan. Kajian bagi tempoh lima (5) tahun ini (2024 - 2029) akan melihat kesan perlombongan mineral tersebut kepada aspek seperti flora, fauna, tanah, hidrologi, stok karbon dan sosio-ekonomi. Hasil kajian ini kelak akan memandu Kerajaan dalam membuat sebarang semakan dasar berkaitan aktiviti perlombongan dalam HSK.


Sekian, terima kasih.



Attachments