Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 09 February 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 7 | Soalan | Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden [ Alor Setar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana perbincangan strategik dua hala di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri dilaksanakan bagi memastikan pembangunan industri mineral khususnya Rare Earth Element (REE) dapat dilakukan berpandukan kepada semangat federalisme.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sentiasa melaksanakan perbincangan strategik dua hala secara berterusan dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan industri mineral, khususnya unsur nadir bumi atau Rare Earth Element (REE), dapat dilaksanakan selaras dengan semangat federalisme seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Perbincangan dan penyelarasan ini dilaksanakan melalui Majlis Mineral Negara (MMN) yang berperanan sebagai platform utama untuk menyelaras dasar, hala tuju dan tadbir urus sektor mineral antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Melalui mekanisme ini, sebarang dasar dan inisiatif berkaitan pembangunan REE dibincangkan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan serta kepentingan Kerajaan Negeri sebagai pihak berkuasa ke atas tanah dan mineral.
Dari sudut pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menyediakan sokongan teknikal, garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE sebagai rujukan nasional, manakala Kerajaan Negeri mengekalkan kuasa kelulusan tenemen, pelesenan, penguatkuasaan serta kutipan hasil selaras dengan peruntukan undang-undang negeri masing-masing. Pendekatan ini memastikan tiada pertindihan kuasa dan menghormati pembahagian bidang kuasa Persekutuan–Negeri.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Persekutuan turut mengadakan libat urus dua hala dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran, agar negeri-negeri pengeluar tidak sekadar menjadi tapak perlombongan semata-mata tetapi turut menikmati manfaat ekonomi, peluang pelaburan dan pembangunan industri sokongan.
Secara keseluruhannya, Kerajaan menegaskan bahawa pembangunan industri REE negara dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, berlandaskan prinsip saling menghormati bidang kuasa, tadbir urus yang baik dan kelestarian, sejajar dengan semangat federalisme yang menjadi asas sistem pentadbiran negara.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|