Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 69 | Soalan | Tuan Chow Kon Yeow [ Batu Kawan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan arah tuju industri Unsur Nadir Bumi (REE) negara dan jelaskan juga : bagaimanakah kerangka penglibatan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam perkara ini; dan perincikan penemuan-penemuan baharu mengikut pecahan negeri sumber REE dalam tempoh lima tahun ini.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan komited untuk membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) secara berperingkat meliputi keseluruhan rantaian nilai dengan menitikberatkan kepada pematuhan undang-undang serta perlindungan alam sekitar dan keselamatan rakyat.
Penglibatan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam hal ini adalah berdasarkan kepada pembahagian bidang kuasa sedia ada. Kerajaan Negeri mempunyai kuasa terhadap hal ehwal tanah yang meliputi permit dan kebenaran perlombongan, manakala Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab dalam penggubalan dasar nasional, penyelarasan industri, kawal selia teknikal, keselamatan, alam sekitar dan kawalan eksport. Penyelarasan ini dilaksanakan melalui beberapa mekanisme di peringkat nasional termasuk Majlis Tanah Negara, Majlis Mineral Negara serta sesi libat urus yang diadakan bersama pihak Kerajaan Negeri.
Berdasarkan kajian awal yang dibuat sebelum ini, taburan sumber teragak (inferred resources) REE dari jenis lempung jerapan ion (ion-adsorption clay - IAC) telah dikenal pasti di beberapa negeri khususnya di Semenanjung Malaysia. Penemuan ini masih berada pada kategori sumber awal dan memerlukan pengesahan lanjut sebelum sebarang aktiviti komersial berskala penuh boleh dipertimbangkan. Negeri Perak telah melaksanakan projek perintis perlombongan REE yang dipantau rapi bermula pada tahun 2022, manakala negeri-negeri lain seperti Kelantan, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan masih berada pada peringkat kajian, penerokaan atau penilaian teknikal.
Melalui kajian lanjut yang telah dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi RMKe-12 untuk tempoh tahun 2021 hingga 2025, anggaran sumber terukur (measured resources) REE bagi 9 negeri iaitu Terengganu, Perak, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Selangor dan Johor adalah sebanyak 274,144 tan metrik dengan keluasan kajian 103.9 km persegi.
Justeru, kerajaan akan terus memastikan pembangunan industri REE negara dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan demi kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|