Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Tanah | Nombor Soalan | 61 | Soalan | Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan pendirian Kementerian terhadap Pentadbir Tanah Negeri yang enggan mendaftarkan perintah Mahkamah Syariah berkaitan urusan tanah di bawah Kanun Tanah Negara, sedangkan perintah tersebut sah dan berkuatkuasa, serta langkah untuk menyeragamkan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Seksyen 421A Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828], memperuntukkan bahawa tafsiran Mahkamah bagi tujuan Seksyen 417 dan 420 KTN, yang berkaitan dengan pelaksanaan perintah Mahkamah oleh Pendaftar, turut merangkumi Mahkamah Syariah. Tafsiran ini adalah selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pengasingan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah serta mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal ehwal Islam.
Mahkamah Syariah adalah terletak dalam Senarai Negeri dan sesungguhnya mempunyai bidang kuasa mal (sivil) dalam hal-hal seperti pembahagian harta sepencarian, hibah, wakaf, pengesahan nasab dan pengesahan mengenai bahagian faraid waris-waris si mati dalam tuntutan pusaka orang Islam. Maka apabila sesuatu perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang sah dan tidak menyentuh mengenai hal probet mahupun surat kuasa mentadbir dalam suatu kematian, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) di Negeri berkaitan hendaklah mendaftarkan perintah tersebut bagi menjamin hak dan kepentingan pihak yang terlibat.
Dalam hal ini, Pendaftar atau Pentadbir Tanah mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memberi kesan kepada mana-mana perintah atau arahan daripada Mahkamah Syariah berkaitan urusan tanah, setaraf dengan perintah Mahkamah Sivil.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sedang dalam usaha mengeluarkan surat edaran kepada semua Pihak Berkuasa Pendaftaran di Pejabat Tanah Semenanjung Malaysia mengenai panduan serta limitasi akan seksyen 421A KTN agar tindakan yang dilakukan oleh Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah tidak bertentangan dengan bidang kuasa persekutuan dan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|