Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 50 | Soalan | Tuan Tan Kok Wai [ Cheras ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah penilaian terkini Kerajaan terhadap risiko cuaca melampau kepada Malaysia dalam tempoh 5 - 10 tahun akan datang, khususnya terhadap kesihatan awam, keselamatan makanan dan ekonomi negara.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Berdasarkan dapatan daripada dokumen Nationally Determined Contributions 3.0 Malaysia yang telah dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) pada tahun 2024, purata suhu tahunan negara ini diunjurkan akan meningkat di antara 1.7°Celcius hingga 2.1°Celsius menjelang tahun 2100. Kawasan berisiko banjir di Semenanjung Malaysia diunjurkan akan meningkat kepada 5%, manakala menjelang tahun 2050, pengurangan taburan hujan diramalkan akan berlaku terutamanya di wilayah utara semenanjung.
Selain itu, aras laut turut dijangka akan meningkat sehingga 0.74 meter menjelang tahun 2100 dan sekiranya tiada tindakan adaptasi dilakukan, hampir 77% lebih banyak kawasan daratan di pesisir pantai akan ditenggelami air. Perubahan iklim ini akan menyebabkan negara kita bakal berhadapan dengan risiko yang mengancam pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menyedari hal ini, berdasarkan Teras Strategik 3 dalam Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP).
Dokumen ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau. Sektor kesihatan awam, keselamatan makanan serta ekonomi negara secara umumnya telah dikenal pasti sebagai antara sektor-sektor utama yang akan diberikan keutamaan dalam penghasilan dokumen MyNAP.
Melalui pendekatan whole-of-nation, Kementerian akan memastikan strategi yang dibangunkan tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal semata-mata, malah merangkumi pengurusan risiko dalam aspek keselamatan awam serta ancaman terhadap komuniti-komuniti yang mudah terancam.
Langkah adaptasi adalah satu proses yang berpanjangan dalam menghadapi cabaran persekitaran yang sering berubah. Sehubungan dengan itu, Kementerian ini mengalu-alukan sebarang inisiatif atau usaha adaptasi daripada pelbagai pihak, sama ada daripada sektor awam, swasta mahupun individu bagi menyokong agenda ini selagi usaha tersebut tidak memberikan impak negatif terhadap alam sekitar dan masyarakat secara amnya.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|