Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 49 | Soalan | Puan Hajah Rodziah binti Ismail [ Ampang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan hala tuju dan strategi memantapkan pembangunan dan penggunaan teknologi pintar untuk memastikan pengurusan, pemantauan dan penyelenggaraan sumber air bawah tanah secara selamat, mampan dan melibatkan komuniti terutama di kawasan pedalaman, terpencil atau berbekalkan sumber air minuman terhad.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menetapkan hala tuju memperkukuh pengurusan sumber air bawah tanah secara selamat, mampan dan berasaskan teknologi, khususnya bagi kawasan pedalaman dan kawasan yang berdepan kekangan bekalan air bersih.
Pada ketika ini, Kementerian sedang giat melaksanakan Projek Pemetaan dan Penilaian Sumber Air Bawah Tanah (PABT) di beberapa buah negeri termasuk negeri Kedah (2021-2025), Melaka (2025-2027), Pantai Barat Sabah (2025-2028) dan Kelantan (2026-2029). Salah satu objektif utama pelaksanaan projek tersebut adalah menilai potensi air bawah tanah sebagai bekalan air meliputi semua kawasan kajian termasuk kawasan pedalaman, terpencil atau berbekalkan sumber air minuman terhad.
Bagi kawasan pedalaman, terpencil dan kawasan yang mempunyai sumber air minuman terhad seperti di Sarawak dan Sabah, Kementerian telah membina telaga-telaga tiub untuk kegunaan penduduk pedalaman dan rumah panjang. Daerah di Sarawak yang terlibat antaranya Subis, Lundu, Selangau, Simunjan, Kanowit, Lawas, Beluru dan beberapa daerah lain. Manakala, bagi kawasan pedalaman di Sabah, beberapa buah kampung juga telah mendapat manfaat melalui pembinaan telaga tiub seperti di daerah Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Papar, Keningau serta di Pantai Timur Sabah.
Selain itu, kementerian juga telah bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menerusi pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sumber Alternatif Negeri Sarawak yang memfokuskan pembinaan telaga tiub di kawasan pedalaman. JMG turut menjalinkan kerjasama rapat bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Semenanjung bagi mengenal pasti potensi sumber air bawah tanah untuk dibangunkan sebagai sumber bekalan air di beberapa perkampungan orang asli.
Bagi memperkukuhkan pengurusan air bawah tanah, pendekatan pemantauan masa nyata menggunakan instrumen Internet of Things (IoT) serta pemasangan sistem telemetri bagi tujuan pemantauan paras air dan kualiti air bawah tanah sedang giat dilaksanakan seperti di negeri Kedah dan akan diikuti oleh negeri-negeri lain. Ini bertujuan untuk memantau paras air dan kualiti bagi mengesan risiko pencemaran terhadap sumber ini.
Penggunaan teknologi pintar ini diperkukuh dengan inventori data air bawah tanah melalui platform yang dibangunkan oleh JMG iaitu sistem MyGEMS bagi tujuan penyimpanan, perkongsian data dan sokongan perancangan pembangunan. Sistem ini boleh diakses oleh semua pihak bagi mendapatkan maklumat sumber air bawah tanah bagi tujuan pembangunan terutamanya di kawasan pedalaman, terpencil dan kawasan yang mempunyai sumber air minuman terhad.
Kementerian juga menekankan penyelesaian yang sesuai dengan komuniti setempat termasuk penggunaan tenaga solar, reka bentuk telaga kos rendah serta pemantauan berasaskan komuniti, bagi memastikan kemudahan air bawah tanah dapat diselenggara secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|