Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 29 | Soalan | Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob [ Bera ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan hala tuju dan status semasa penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, termasuk tempoh jangkaan pembentangan dan pelaksanaannya serta bagaimana RUU ini akan memastikan Malaysia mempunyai kerangka undang-undang yang jelas dan berperingkat untuk melindungi rakyat daripada risiko perubahan iklim serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) merupakan instrumen perundangan yang digubal khusus bagi memastikan pelaksanaan tindakan iklim di negara ini dapat dilaksanakan secara efektif. Pelaksanaan efektif tindakan perubahan iklim di negara ini penting bagi memastikan obligasi negara di bawah perjanjian antarabangsa khususnya Perjanjian Paris di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dapat dilaksanakan.
Antara obligasi Malaysia di bawah Perjanjian Paris adalah untuk menyediakan dan mengemaskini komitmen pengurangan pelepasan gas rumah kaca (Green House Gas - GHG) negara setiap 5 tahun sekali yang dinamakan sebagai Nationally Determined Contributions (NDC). Dalam masa yang sama, Malaysia juga perlu menyediakan laporan inventori kebangsaan (National Inventory Report) melalui laporan Biennial Transparency Report (BTR) setiap 2 tahun sekali.
Oleh yang demikian, penggubalan RUUPIN akan memastikan Malaysia mempunyai kerangka undang-undang yang jelas dalam usaha Kerajaan mengawal pelepasan GHG termasuk melalui pelaksanaan mekanisme pasaran seperti instrumen harga karbon dalam bentuk cukai karbon atau skim perdagangan pelepasan (Emission Trading Scheme - ETS). Di samping itu, RUUPIN juga berfungsi untuk mewujudkan kerangka pasaran karbon pematuhan yang membolehkan pemain industri untuk mendagangkan kredit karbon ke luar negara sekaligus merancakkan lagi pelaburan rendah karbon daripada luar negara.
Pelaksanaan instrumen di bawah RUUPIN ini khususnya berkaitan harga karbon akan dibuat secara berperingkat. Justeru, sebagai langkah awal, RUUPIN akan meletakkan obligasi kepada operator fasiliti untuk melaporkan GHG yang dilepaskan sebagai persediaan kepada industri untuk beralih ke arah rendah karbon dan pematuhan RUUPIN sepenuhnya.
Pelaksanaan secara berperingkat ini bagi membolehkan pelaksanaan RUUPIN dibuat dengan mengambil kira kesediaan pihak industri untuk mematuhi RUUPIN tanpa merencatkan pertumbuhan ekonomi. Selain itu, bagi melindungi rakyat daripada risiko impak perubahan iklim, RUUPIN turut mengandungi peruntukan bagi menggalakkan inisiatif penyesuaian atau adaptasi agar infrastruktur awam dan swasta di negara ini berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim.
Draf RUUPIN kini dalam proses semakan akhir oleh pihak Jabatan Peguam Negara. Berdasarkan perancangan semasa, dijangka untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen ke-15.
Sekian, terima kasih
| | Attachments |
|
|