Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 January 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

27

Soalan

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah tindakan segera dan pelan jangka panjang Kementerian bagi menangani isu pencemaran sungai di kawasan Parlimen Gerik yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan sehingga menjejaskan kualiti air, keselamatan dan kesihatan penduduk.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberikan perhatian serius mengenai isu pencemaran sungai di kawasan Parlimen Gerik khususnya berkaitan air Sungai Perak bertukar biru seperti dilaporkan dalam media sosial pada Oktober 2025 yang dikhuatiri menjejaskan kualiti air, keselamatan dan kesihatan penduduk setempat. 


  1. Sebagai tindakan segera, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada 13 November 2025 telah mengeluarkan surat arahan menggantung operasi perlombongan dan pembangunan lombong selama tiga minggu kepada tiga tapak perlombongan di Daerah Hulu Perak. Arahan tersebut dikeluarkan supaya pihak pengusaha melaksanakan penambahbaikan ke atas kaedah rawatan efluen lombong serta kawalan hakisan dan sedimen. Walau bagaimanapun, insiden yang berlaku belum dapat dipastikan berpunca dari aktiviti perlombongan semata-mata.


  1. Justeru, NRES telah mengaktifkan gerak kerja secara task force pada 26 dan 27 November 2025 melibatkan agensi teknikal seperti JMG, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Tenaga Atom, Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menjalankan pemeriksaan tapak, siasatan punca pencemaran serta pensampelan kualiti air sungai di kawasan terlibat. Task force tersebut turut melibatkan agensi di bawah Kerajaan Negeri Perak seperti Pejabat Tanah dan Galian, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak dan Lembaga Air Perak.  


  1. Berdasarkan pemerhatian awal task force tersebut, warna biru air sungai dipengaruhi oleh kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu yang berkemungkinan berpunca daripada aktiviti perlombongan. Selain itu, bukaan tanah bagi aktiviti lain juga boleh menyumbang kepada insiden ini berikutan sifat geologi di kawasan Hulu Perak yang dikenal pasti mempunyai kandungan mineral yang tinggi. Walau bagaimanapun, penentuan punca yang muktamad masih memerlukan pengesahan analisis makmal dan penilaian lanjut.


  1. Bagi penyelesaian jangka panjang, NRES akan terus memperkukuh tadbir urus dan kawal selia aktiviti perlombongan yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian melalui penguatkuasaan peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan yang ketat. Ini termasuk pematuhan kepada syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan oleh pihak JAS dan memperkukuh syarat-syarat berkaitan dengan pengurusan rawatan efluen lombong serta kawalan hakisan dan sedimen bagi kelulusan Skim Pengendalian Perlombongan (OMS) yang dikeluarkan oleh pihak JMG.


  1. Selain itu, Kementerian akan terus menyokong pendekatan berasaskan sains dan bukti melalui kajian teknikal oleh agensi berkaitan bagi menilai impak perlombongan terhadap sistem sungai, sumber air dan kesihatan penduduk. Kementerian juga akan memperkukuh libat urus dengan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memastikan aduan rakyat ditangani secara berkesan, maklumat disampaikan secara telus dan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan sumber asli dapat dipulihkan.


  1. Kesimpulannya, Kerajaan komited memastikan aktiviti perlombongan, khususnya di kawasan Parlimen Gerik, dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan, tanpa menjejaskan kualiti air, keselamatan serta kesihatan penduduk, selaras dengan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.



Sekian, terima kasih.



Attachments