Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 January 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

11

Soalan

Kapten Azahari bin Hasan [ Padang Rengas ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh manakah tahap pencapaian Malaysia terhadap komitmen antarabangsa berkaitan perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar serta strategi negara dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan tanggungjawab global.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Malaysia komited sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota komuniti antarabangsa bagi menangani cabaran perubahan iklim serta memelihara kelestarian alam sekitar, selaras dengan prinsip pembangunan mampan. Sejajar dengan komitmen tersebut, Malaysia telah menyertai dan melaksanakan pelbagai perjanjian serta inisiatif antarabangsa berkaitan perubahan iklim termasuk Perjanjian Paris sebagai manifestasi kesungguhan negara dalam menyokong agenda iklim global.


  1. Antara obligasi utama negara ahli di bawah Perjanjian Paris adalah mengemukakan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) setiap lima (5) tahun sekali yang dikenali sebagai Nationally Determined Contributions (NDC) dan melaporkan inventori GHG negara setiap dua (2) tahun sekali menerusi Biennial Transparency Report (BTR) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC). Pelaporan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus iklim yang baik.


  1. Bagi tahun 2025, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju utama agenda iklim di Asia Tenggara apabila tersenarai sebagai salah satu daripada lima negara ASEAN terawal yang berjaya mengemukakan NDC Ketiga (NDC 3.0) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) pada Oktober 2025.


  1. Melalui komitmen baharu ini, Malaysia menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan gas rumah kaca antara lima belas (15) hingga tiga puluh (30) juta tan karbon dioksida setara menjelang tahun 2035 sekali gus mencerminkan komitmen negara ke arah pembangunan rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan.


  1. Malaysia turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila berjaya mengemukakan Borang Host Party Participation (HPP) kepada UNFCCC pada 30 Oktober 2025 sebagai sebahagian daripada syarat untuk menyertai Paris Agreement Crediting Mechanism (PACM) di bawah Artikel 6.4, Perjanjian Paris.


  1. Selaras dengan hala tuju jangka panjang negara, Malaysia telah menetapkan aspirasi untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050. Bagi menyokong usaha tersebut, NRES telah melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) pada tahun 2024 yang melengkapi pelbagai pelan dan strategi sedia ada termasuk Pelan Hala Tuju dan Tindakan Nationally Determined Contribution, Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon, serta pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan (Malaysia Adaptation Plan-MyNAP).


  1. Langkah Malaysia menetapkan aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050 bukan sekadar komitmen global untuk menghadkan kenaikan suhu purata global di bawah 2 darjah Celcius, ia juga merupakan pemacu strategik bagi pertumbuhan ekonomi baharu melalui jangkaan pelaburan hijau antara RM2.3 sehingga RM2.6 trillion bagi tahun 2023-2050. Selain pelaburan hijau, pelaksanaan mekanisme Artikel 6 juga membolehkan Malaysia menerima manfaat dari aspek pemindahan teknologi, peluang pekerjaan hijau (green jobs), dan pembangunan kapasiti serta sokongan teknikal.


  1. Manakala dari sudut regulatori pula, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim digubal untuk mengarusperdanakan agenda perubahan iklim seperti tindakan mitigasi dan adaptasi. Dalam masa yang sama, Kerajaan turut menggubal Rang Undang Undang Pihak Berkuasa Perubahan Iklim bagi mewujudkan satu entiti khusus untuk mengawal selia inisiatif yang digariskan di bawah RUUPIN.


  1. Segala inisiatif, komitmen dan kerangka dasar yang digariskan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam memperkukuh tindakan iklim negara secara menyeluruh, berstruktur dan mampan.

 

Sekian, terima kasih.



Attachments