Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 4 | Soalan | Dato' Sri Tuan Ibharim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan akan melaksanakan pemetaan menyeluruh perladangan monokultur mengikut kecerunan di seluruh negara bagi menilai risiko banjir lumpur dan tanah runtuh serta melindungi kawasan tadahan kritikal, mengambil iktibar tragedi Sumatera Barat November 2025.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pemetaan kawasan berpotensi kejadian tanah runtuh di seluruh negara meliputi keluasan kira-kira dua ribu sembilan ratus enam puluh enam kilometer persegi (2,966 km2). Inisiatif ini merangkumi kawasan pertanian aktif di tanah tinggi seperti Cameron Highlands seluas empat ratus tujuh puluh lima kilometer persegi (475 km2) dan Kundasang seluas tiga ratus tujuh puluh kilometer persegi (370 km²) sebagai usaha awal memperkukuh perancangan pembangunan dan pengurusan cerun secara bersepadu.
Hasil pemetaan tersebut telah dimanfaatkan melalui penyediaan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) yang dikongsi bersama agensi perancang dan pelaksana seperti PlanMalaysia dan Jabatan Pertanian bagi menyokong perancangan guna tanah yang lebih teratur, selamat dan mampan. PBRC menjadi rujukan strategik dalam merancang langkah pencegahan awal, penyenggaraan cerun secara berkala, penentuan lokasi pemasangan sistem amaran awal tanah runtuh, serta memperkukuh kawalan guna tanah oleh agensi berkaitan demi kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Sehingga kini, dua (2) jenis Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) telah dibangunkan, iaitu PBRC berasaskan linear based dan area-based. Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab menyediakan PBRC berasaskan linear-based bagi laluan Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, manakala Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menyediakan PBRC berasaskan area-based yang meliputi lokasi selain jalan raya dan lebuh raya. Pembahagian peranan ini memastikan liputan pemetaan yang menyeluruh, tersusun dan saling melengkapi dalam menyokong pengurusan cerun serta perancangan pembangunan yang lebih selamat dan mampan.
Selain itu, Kementerian turut memperkukuh mekanisme kawalan melalui pelaksanaan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi sebarang aktiviti pertanian dan perladangan yang diklasifikasikan sebagai aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015. Pendekatan ini memastikan setiap cadangan pembangunan dinilai secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.
Seiring dengan itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut memainkan peranan aktif dengan mengemukakan ulasan teknikal di peringkat Pusat Sehenti (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan, sekali gus memastikan pembangunan kawasan pertanian dan perladangan dapat dilaksanakan secara terancang, selamat dan mampan.
Berhubung cadangan pelaksanaan pemetaan menyeluruh bagi aktiviti perladangan di kawasan bercerun, NRES sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat nasihat teknikal kepada kementerian atau agensi berkaitan, khususnya dalam mengenal pasti tahap risiko bencana geologi. Pelaksanaan pemetaan di kawasan perladangan adalah lebih berkesan sekiranya dilaksanakan secara berfokus, berperingkat dan berasaskan tahap bahaya serta risiko.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|