Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 29 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Tanah | Nombor Soalan | 32 | Soalan | Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan pecahan keluasan terkini Tanah Rizab Melayu (TRM) mengikut negeri termasuk perubahan keluasan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini serta langkah Kerajaan bagi memastikan pemeliharaan dan perlindungan status Tanah Rizab Melayu secara berterusan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu (ERM), pada tahun 2024 adalah sebanyak 4,956,639.70 hektar, berbanding 4,821,576.24 hektar pada tahun 2020. Ini menunjukkan peningkatan bersih sebanyak 135,063.46 hektar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Pecahan keluasan TRM mengikut negeri bagi tempoh tahun 2020 hingga 2024 adalah berdasarkan data yang dikemukakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Pecahan keluasan Tanah Rizab Melayu mengikut negeri bagi tahun 2024 adalah seperti di Jadual berikut:
JADUAL KELUASAN TANAH RIZAB MELAYU MENGIKUT NEGERI TAHUN 2024
BIL. | NEGERI (TERMASUK WILAYAH PERSEKUTUAN) | KELUASAN TRM (HEKTAR) |
|---|
1. | Perlis | 33,554.48 | 2. | Kedah | 809,142.22 | 3. | Perak | 953,212.43 | 4. | Selangor | 164,743.96 | 5. | Kuala Lumpur | 1,004.00 | 6. | Negeri Sembilan | 224,483.22 | 7. | Johor | 561,802.60 | 8. | Pahang | 444,074.90 | 9. | Kelantan | 1,361,114.00 | 10. | Terengganu | | (i) Tanah Rizab Melayu | 2,378.89 | (ii) Tanah Pegangan Melayu | 401,129.00 | | JUMLAH KELUASAN | 4,956,639.70 |
Berdasarkan perundangan, pengurusan dan perlindungan TRM adalah tertakluk kepada beberapa kerangka undang-undang utama, antaranya:
Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perlindungan khas terhadap Tanah Rizab Melayu serta keperluan penggantian tanah yang setara sekiranya berlaku pembatalan Tanah Rizab Melayu;
Enakmen Rizab Melayu (ERM) di negeri-negeri yang berkenaan, termasuk peruntukan berkaitan pengisytiharan, pembatalan, sekatan pemilikan serta larangan pegangan kepentingan oleh bukan Melayu;
Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 828], yang mengawal selia pentadbiran tanah secara am termasuk pendaftaran hak milik dan kepentingan; dan
Pertimbangan dan kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN), khususnya berkaitan penyelarasan dasar tanah dan pengumpulan data TRM di peringkat Persekutuan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|