Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a)
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) tidak mempunyai data berpusat mengenai jumlah harta pusaka kecil yang tidak dituntut mengikut jantina, kaum mahupun negeri. Maklumat berhubung harta pusaka hanya diperolehi apabila waris membuat permohonan pembahagian harta pusaka.
Soalan (b)
Pelaksanaan pengagihan harta pusaka si mati kepada waris yang berhak adalah menjadi tanggungjawab pewaris berdasarkan perintah pembahagian pusaka yang telah dikeluarkan. Dalam hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) telah mengambil tindakan bagi mempercepatkan dan memudahkan urusan permohonan pusaka seperti berikut:
i) Pertambahan Perjawatan Pegawai Tadbir Gred N9
Berkuat kuasa mulai 3 Februari 2025 dan selaras dengan penstrukturan semula perjawatan di JKPTG oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut waran perjawatan W.P. Bil. E 02/2024, sebanyak 47 perjawatan bagi Pegawai Tadbir Gred N9 telah diluluskan. Kelulusan perjawatan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan perjawatan di bawah Bahagian Pengurusan Pusaka sebanyak 118 orang pegawai. Walau bagaimanapun, urusan pengisian bagi perjawatan tetap tersebut sedang dalam tindakan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Kementerian ini berpandangan bahawa menerusi pengisian penuh jawatan Pegawai Tadbir Gred N9 di Bahagian Pengurusan Pusaka tersebut diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan penyelesaian kes daripada 8 bulan hingga 1 tahun kepada purata 6 bulan bagi permohonan yang lengkap.
ii) Melaksanakan Program Outreach atau Turun Padang
Program outreach atau turun padang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat melalui penyampaian maklumat yang lebih jelas berkaitan prosedur pembahagian harta pusaka, seterusnya menggalakkan waris membuat tuntutan harta pusaka dengan segera sebaik berlakunya kematian pemilik harta.
Bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025, sebanyak 158 program telah dilaksanakan merangkumi ceramah kepada penduduk kampung dan komuniti FELDA, taklimat kepada agensi kerajaan dan swasta serta program promosi melalui radio dan televisyen di seluruh Semenanjung Malaysia. Pelaksanaan program-program ini telah menunjukkan impak positif apabila jumlah permohonan meningkat kepada 75,436 kes pada tahun 2025 berbanding 68,046 kes yang diterima pada tahun 2024.
Nilai harta pusaka yang berjaya diselesaikan menunjukkan peningkatan daripada RM2,239,176,838.84 pada tahun 2023 kepada RM2,441,152,908.35 pada tahun 2024, dan seterusnya meningkat kepada RM3,045,387,743.27 pada tahun 2025.
iii) Memperkukuhkan Modul Urusan Pusaka dalam Sistem MyLand
Kerajaan melaksanakan langkah memperkukuh Modul Urusan Pusaka dalam Sistem MyLand dengan menambah baik fungsi digital bagi memproses kes pusaka secara sistematik. Fungsi modul ini merangkumi permohonan pusaka, pengeluaran perintah pusaka, pemantauan status kes serta pengagihan harta pusaka. Langkah memperkukuh sistem turut termasuk penyediaan interface yang mesra pengguna, integrasi dengan pangkalan data agensi berkaitan dan latihan kepada pegawai bagi memastikan pengurusan kes pusaka dapat dilaksanakan dengan cekap dan mengikut peruntukan undang-undang.
Sekian, terima kasih.