Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

29 January 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

26

Soalan

Datuk Ali anak Biju [ Saratok ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap perkembangan industri Carbon Trading Sarawak. Adakah Putrajaya memudahcara atau mengenakan sekatan/cukai tambahan yang boleh menjejaskan ekonomi hijau wilayah Sarawak.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) yang bertujuan untuk menyediakan kerangka kawal selia yang komprehensif bagi memudah cara perdagangan karbon di Malaysia, memastikan integriti kredit karbon mengikut piawaian antarabangsa, dan mengelakkan pengiraan berganda (double counting) bagi mencapai sasaran Nationally Determined Contributions (NDC) serta aspirasi sifar bersih (net zero) menjelang 2050. 


  1. Selain itu, penggubalan RUUPIN yang kini di peringkat akhir semakan Jabatan Peguam Negara akan turut mengambil kira pengharmornian undang-undang sedia ada di Sarawak. 


  1. Kerajaan Persekutuan akan menyokong industri perdagangan karbon Sarawak yang kini diiktiraf sebagai peneraju bagi penggubalan undang-undang karbon di peringkat nasional melalui penggubalan Environment (Reduction of Greenhouse Gases Emission) Ordinance 2023. 


  1. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk mengharmonikan perundangan berkaitan karbon di peringkat nasional dengan Environment (Reduction of Greenhouse Gases Emission) Ordinance 2023 milik Sarawak sebagai usaha untuk memastikan kredit karbon Sarawak boleh didagangkan secara sah di pasaran antarabangsa, mengikut garis panduan di bawah Perjanjian Paris. 


  1. Hal ini memandangkan Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa untuk menandatangani perjanjian antarabangsa (seperti Perjanjian Paris), Putrajaya akan bertindak sebagai pendaftar rasmi (National Registry). Tanpa pengiktirafan daripada Putrajaya di bawah kerangka Perkara 6 Perjanjian Paris, kredit karbon dari wilayah seperti Sarawak tidak boleh dijual secara sah di peringkat antarabangsa. 


  1. Oleh yang demikian, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah penting bukan sahaja untuk pembangunan dan pemakaian RUUPIN yang menyeluruh malahan untuk memastikan negeri yang yang mempunyai perundangan karbon yang lengkap seperti Sarawak mempunyai peluang dalam perdagangan karbon yang sah di peringkat nasional dan antarabangsa serta tidak menjejaskan ekonomi hijau Sarawak secara keseluruhannya. 


Sekian, terima kasih. 



Attachments