Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

29 January 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

24

Soalan

Tuan Riduan bin Rubin [ Tenom ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah strategi Kementerian untuk mengembangkan model perniagaan industri ion-adsorption clay rare earth di Malaysia, termasuk pembangunan rantaian nilai dari aspek penerokaan, teknologi pengeluaran, pemprosesan hiliran, pelaburan asing, pemindahan teknologi dan insentif fiskal bagi memastikan negara menjadi pemain utama teknologi tinggi global.



Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melihat pembangunan industri unsur nadir bumi atau REE dari jenis ion-adsorption clay sebagai peluang strategik negara untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi tinggi global. Sehubungan itu, strategi Kerajaan adalah membangunkan industri ini secara menyeluruh dan berfasa, meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran. Ia menjadi fokus perbincangan dalam Special Task Force Hala Tuju Pembangunan Industri REE melibatkan 5 Kementerian berkaitan.


  1. Dari aspek huluan, Kerajaan melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia terus memperkukuh aktiviti pemetaan geosains, pengesahan sumber dan kajian teknikal bagi mengenal pasti potensi serta kebolehlaksanaan pembangunan sumber REE. Keutamaan diberikan kepada kawasan di luar Hutan Simpanan Kekal dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar, dengan pelaksanaan secara berhati-hati serta kerjasama rapat bersama Kerajaan Negeri selaras dengan pembahagian bidang kuasa Persekutuan dan Negeri.


  1. Dari sudut teknologi pengeluaran, Kerajaan menetapkan penggunaan kaedah perlombongan yang lebih mampan seperti in-situ leaching bagi meminimumkan pembukaan tanah dan gangguan ekosistem. Semua aktiviti perlombongan tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE dan keperluan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). Dalam masa yang sama, Kerajaan menyokong penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kecekapan teknologi serta membangunkan kepakaran tempatan secara berperingkat.


  1. Bagi peringkat pertengahan dan hiliran, Kerajaan mengekalkan dasar moratorium pengeksportan mentah REE bagi memastikan sumber negara dibangunkan dengan nilai tambah dalam negara. Fokus diberikan kepada pewujudan loji pemprosesan bagi penulenan dan pemisahan elemen REE, diikuti pembangunan industri hiliran berteknologi tinggi seperti penghasilan logam, aloi dan magnet kekal untuk kegunaan sektor kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu dan industri elektronik.


  1. Dari aspek pelaburan dan pemindahan teknologi, Kerajaan menggalakkan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa yang memiliki teknologi maju, termasuk melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan, bagi memastikan pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan dilaksanakan secara terancang. Kerajaan juga sedang meneliti penyediaan insentif fiskal dan bukan fiskal yang bersesuaian bagi menyokong pelaburan, penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan teknologi.


  1. Secara keseluruhannya, strategi Kerajaan adalah untuk membangunkan industri REE jenis ion-adsorption clay sebagai satu ekosistem berteknologi tinggi yang lengkap, berdaya saing dan mampan. Pendekatan ini diyakini dapat memaksimumkan manfaat ekonomi sumber mineral strategik negara, memperkukuh penguasaan teknologi tempatan, serta memastikan Malaysia muncul sebagai pemain penting dalam ekonomi teknologi tinggi global.


Sekian, terima kasih.



Attachments