Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 29 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 14 | Soalan | Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah pelan penanaman semula hutan di Hulu Perak iaitu di kawasan bekas pembalakan atau perlombongan memandangkan peningkatan kejadian gajah dan harimau keluar ke kawasan penempatan serta langkah mitigasi konflik manusia dan hidupan liar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di bawah Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia (3RSM), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada tahun 2022 dan 2023 telah melaksanakan penanaman dan rawatan silvikultur di sebahagian Kompartmen 8, Hutan Simpan Temenggor, Gerik, Perak dengan keluasan 2 hektar melalui penanaman sebanyak 2,222 anak pokok pelbagai spesies hutan.
Kawasan tersebut dipilih dengan mengambil kira keadaan semasa kawasan yang merupakan hutan terosot, khususnya dari aspek kurang kemampuan dalam penjanaan semula dirian hutan yang terdiri daripada spesies hutan tempatan. Aktiviti restorasi kawasan tersebut bertujuan untuk mengembalikan fungsi dan produktiviti hutan yang akan diurus secara mampan.
Dalam masa yang sama, bagi merancakkan aktiviti restorasi hutan, Jabatan Perhutanan Negeri Perak juga telah melaksanakan sebanyak sembilan program dan aktiviti tanaman pokok dari tahun 2021 hingga 2025 dengan keluasan kawasan penanaman berjumlah 167 hektar melalui penanaman 68,268 anak pokok pelbagai spesies di pelbagai tempat di Daerah Hulu Perak.
Menyedari peningkatan konflik gajah dan harimau di kawasan Gerik dan Hulu Perak, Jabatan PERHILITAN telah mengambil langkah mitigasi jangka pendek dan panjang. Ini termasuk pemasangan Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di kawasan pertanian komuniti dan penubuhan Pasukan Pantau Konflik untuk tindakan pantas menghalau hidupan liar kembali ke habitat asal.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|