Tuan Yang di-Pertua,
Jumlah keseluruhan kes harta pusaka kecil yang masih belum selesai dan tertunggak sehingga 31 Disember 2025 adalah sebanyak 46,707 kes.
Permohonan pusaka yang telah berjaya diselesaikan pada tahun 2025 ialah sebanyak 84,384 kes dengan nilaian harta pusaka lebih kurang RM19.01 bilion
Antara punca-punca utama yang menyebabkan berlakunya kelewatan dalam penyelesaian sesuatu kes harta pusaka adalah disebabkan perkara-perkara seperti berikut:
Kelewatan tindakan waris dalam membuat tuntutan harta pusaka si mati atas faktor kesibukan masa sehingga menyebabkan berlakunya kematian yang berlapis dan pembahagian harta pusaka si mati menjadi semakin rumit serta sukar untuk diselesaikan;
Perbalahan atau tiada kesepakatan di kalangan waris mengenai siapa yang sepatutnya menguruskan atau mewarisi harta pusaka si mati;
Tiada kerjasama dalam kalangan waris si mati seperti mengisi Borang Persetujuan atau hadir dalam perbicaraan;
Dokumen yang dikemukakan tidak lengkap dan teratur dalam pembuktian pemilikan harta oleh si mati;
Kurang pengetahuan mengenai proses permohonan pembahagian harta pusaka kecil;
Si mati mempunyai pelbagai jenis harta yang banyak yang melibatkan tuntutan pelbagai agensi dan memakan masa yang lama bagi mendapatkan dokumen bukti pemilikan harta;
Kurang pengetahuan mengenai hidup si mati seperti perkahwinan dan waris si mati yang layak dalam menuntut harta pusaka si mati; dan
Keengganan waris si mati dalam berusaha untuk mendapatkan dokumen bagi harta pusaka si mati dan mencari waris si mati yang layak, seperti waris hilang dan sebagainya.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) telah menetapkan bahawa suatu tempoh masa bagi harta pusaka seseorang si mati diselesaikan sekiranya tiada sebarang masalah atau pertikaian, adalah dalam tempoh empat (4) bulan dari tarikh permohonan dibuat kepada pihak JKPTG.
Sekiranya wujud punca-punca seperti yang dinyatakan di atas, tempoh penyelesaian kes harta pusaka si mati boleh terjejas dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Tempoh tersebut perlu dilanjutkan bagi memberikan ruang dan memastikan keadilan kepada semua waris atau pihak yang terlibat.
Secara dasarnya, pihak JKPTG menyasarkan agar tunggakan kes harta pusaka dapat dikurangkan menjelang tahun 2028, dengan syarat tiada sebarang kes bermasalah atau pertikaian. Apabila sasaran ini tercapai, JKPTG boleh memberi fokus kepada kes tahun semasa sahaja.
Sekian, terima kasih.