Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Biodiversiti, PERHILITAN | Nombor Soalan | 66 | Soalan | Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa [ Tampin ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perancangan terkini Kementerian menerusi Jabatan PERHILITAN bagi mengurangkan kes-kes berkaitan konflik manusia-hidupan liar seperti monyet, beruk, kera dan gajah yang sering mengganggu ketenteraman serta menjejaskan hasil pertanian atau perladangan masyarakat di kawasan luar bandar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil perhatian serius mengenai konflik manusia dan hidupan liar termasuk kera dan gajah yang menjejaskan ketenteraman serta kerosakan tanaman di kawasan luar bandar.
Dalam aspek perancangan jangka panjang, Jabatan PERHILITAN telah membangunkan pelan tindakan konservasi sebagai garis panduan dan rujukan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam pengurusan hidupan liar di Semenanjung Malaysia yang turut merangkumi strategi bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar seperti Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030 (National Elephant Conservation Action Plan 2023-2030 - NECAP 2.0).
Secara umumnya, antara tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN bagi menangani konflik manusia dengan kera dan gajah adalah seperti berikut:
menjalankan aktiviti pemantauan dan kawalan apabila menerima aduan daripada orang ramai;
menjalankan program pemasangan perangkap untuk menangkap hidupan liar yang menimbulkan konflik dan dipindahkan ke kawasan yang bersesuaian;
menjalankan program kesedaran awam dan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan;
melaksanakan Pelan Pengurusan Hidupan Liar/ Kajian Kesan Hidupan Liar dalam Kajian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment - EIA) bersama pihak perunding, penggerak projek dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenal pasti impak dan tindakan mitigasi akibat pembangunan yang melibatkan habitat hidupan liar; dan
menubuhkan Pasukan Khas (Taskforce) dan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Konflik Manusia-Hidupan Liar juga telah ditubuhkan di Semenanjung Malaysia bagi membincangkan penyelesaian isu konflik dan merangka pelan pelaksanaan pengurusan konflik manusia dan hidupan liar.
Kerajaan juga prihatin dengan kerugian yang dialami oleh pekebun kecil, petani dan penternak yang terjejas akibat serangan hidupan liar. Bagi tujuan ini, NRES telah memperkenalkan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) mulai tahun 2024.
BKHT merupakan bantuan kewangan yang diberikan secara one-off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman. Sebanyak hampir RM1 juta telah dimanfaatkan oleh 246 pemohon pada tahun 2024, manakala sebanyak hampir RM1.5 juta telah dimanfaatkan oleh 314 pemohon pada tahun 2025. Bantuan ini diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|