Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 January 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

PERHILITAN, Biodiversiti

Nombor Soalan

64

Soalan

Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun [ Port Dickson ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah penguatkuasaan yang telah dilaksanakan oleh Malaysia bersama negara-negara ASEAN dalam mengekang perdagangan hidupan liar secara haram khususnya melalui ASEAN Working Group on CITES, serta sejauh mana keberkesanan langkah-langkah tersebut dari segi hasil dan impaknya.


​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah menjalankan kerjasama serantau di bawah ASEAN Working Group on Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna (CITES) and Wildlife Enforcement (AWG CITES & WE) untuk menangani ancaman perdagangan hidupan liar secara haram yang melibatkan warga asing. Antara langkah penguatkuasaan yang telah dilaksanakan oleh Malaysia bersama negara-negara ASEAN adalah:


  1. bekerjasama dengan pihak berkuasa pengurusan CITES dalam penyaluran dan perkongsian maklumat berhubung jenayah hidupan liar yang melibatkan warganegara asing di Malaysia;


  1. meningkatkan kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN yang lain seperti ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crimes (SOMTC) Working Group on Illicit Trafficking of Wildlife and Timber;


  1. memperkukuhkan penguatkuasaan melalui perisikan iaitu “intelligence led enforcement”;


  1. membantu negara ASEAN yang lain dalam melaksanakan analisis forensik hidupan liar melalui National Wildlife Forensic Laboratory, Jabatan PERHILITAN; 


  1. meningkatkan latihan dan kemahiran penguatkuasaan kepada penguatkuasa di lapangan melalui mesyuarat dan lawatan rasmi ke negara-negara ASEAN; dan


  1. bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa yang berkaitan seperti CITES, The International Criminal Police Organization (INTERPOL), ASEANAPOL, United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan World Customs Organization (WCO) dalam aspek perkongsian maklumat mengenai aktiviti jenayah dan penyeludupan hidupan liar.


  1. Langkah-langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan melalui kerjasama serantau ASEAN ini telah menunjukkan keberkesanan yang positif, khususnya dari segi:


  1. peningkatan keupayaan pengesanan dan tangkapan melalui perkongsian maklumat dan perisikan serantau telah membantu agensi penguatkuasaan mengenal pasti sindiket serta individu yang terlibat dengan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan kejayaan operasi tangkapan dan rampasan hidupan liar;


  1. meningkatkan kerjasama strategik dalam tindakan penguatkuasaan secara lebih sistematik, terutamanya dalam kes yang melibatkan sindiket antarabangsa dan warga asing;


  1. latihan berterusan dan pertukaran kepakaran di peringkat serantau telah meningkatkan kemahiran teknikal, kecekapan siasatan serta kualiti kertas siasatan, seterusnya menyokong pendakwaan yang lebih kukuh di mahkamah; dan


  1. program kesedaran awam telah menyumbang kepada pemahaman masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan implikasi undang-undang terhadap perdagangan haram, sekaligus membantu mengurangkan permintaan dalam jangka panjang.


  1. Secara keseluruhannya, kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN dan CITES telah memperkukuh perkongsian perisikan, keupayaan penguatkuasaan serta kerjasama strategik pelbagai agensi, sekali gus meningkatkan keberkesanan membanteras pemerdagangan hidupan liar secara haram dan melindungi kelestarian biodiversiti negara.


Sekian, terima kasih.


​
Attachments